SPRM Beku Aset AS$10 Juta Milik Rohana

- Advertisement -

PUTRAJYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan aset di dalam dan luar negara bernilai kira-kira AS$10 juta milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat televisyen bersatelit susulan pendedahan terbaharu dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Amerika Syarikat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM akan meneruskan usaha untuk mengesan dan membantu mengembalikan wang yang berkaitan kepada negara.

“Buat masa ini, saya tidak boleh berkongsi nama-nama lain yang terlibat.

“Perkara lain yang akan terbabit dalam hal ini ialah kerjasama daripada Pejabat Peguam Negara untuk kita mendapatkan apa-apa keterangan daripada pihak di Amerika Syarikat,” katanya pada sidang media khas Op Power di ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Isu berkaitan sebuah rumah di London dan nama bekas eksekutif kanan itu disebut oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc Tim Leissner pada perbicaraan di Amerika Syarikat dan mendakwa mereka mempunyai hubungan sejak 2003 hingga 2013 dan berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee.

Selain itu, Azam berkata, SPRM akan memanggil semula bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat televisyen bersatelit itu untuk memberi keterangan jika terdapat elemen dan perkembangan baharu.

“Kami akan memanggilnya jika terdapat keperluan dan akan memanggil individu-individu lain yang berkaitan,” katanya.

Pada Khamis SPRM mengambil keterangan wanita terbabit selama sembilan jam bagi membantu siasatan berkaitan isu itu dan dia sekali lagi dipanggil semalam dan proses mengambil keterangan berlangsung selama tiga jam.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan kes Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang didakwa terlibat dalam isu integriti, Azam berkata, kertas siasatan sudah siap dan dalam peringkat perbincangan bersama Pejabat Peguam Negara.

“Tindakan akan diambil terhadap kesemua mereka minggu hadapan,” katanya.

Pada 5 Februari, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan Mara, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu sebelum menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada Mara, Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada 7 Februari. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat