SIBURAN – Pendekatan politik berasaskan kaum dan etnik yang didakwa dimainkan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) disifatkan sukar diterima masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang.
Calon GPS bagi DUN Kedup, Datuk Martin Ben berkata, pendekatan politik sedemikian mengingatkan kepada Pas yang menurutnya turut menggunakan isu keagamaan dalam perjuangan politik.
Beliau berkata, masyarakat Sarawak memerlukan pendekatan politik yang merangkumi semua kelompok, bukannya tertumpu kepada kepentingan satu kaum atau etnik sahaja.
“Kalau politik berdasarkan bangsa dan etnik ini, kita sudah tahu memang susah nak diterima rakyat kerana kita masyarakat berbilang kaum, berbilang latar belakang dan berbilang agama.
“Kalau kita lihat parti nasional seperti Pas, mereka memainkan isu keagamaan. Kita mahu asingkan antara agama dan bangsa kerana agama itu soal kepercayaan masing-masing,” katanya.
Martin yang juga Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, pendekatan PBDS yang membawa isu masyarakat Dayak, Iban dan Bidayuh sebagai perjuangan politik tidak menggambarkan pendekatan kerajaan GPS.
Sebaliknya, katanya, dasar kerajaan negeri merangkumi semua masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Jadi, kalau PBDS memainkan isu Dayak dipinggirkan, Iban dipinggirkan dan Bidayuh dipinggirkan, itu tidak benar.
“Dasar kita dalam kerajaan GPS sudah jelas, kita merangkumi semua masyarakat yang ada di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, isu berkenaan perlu dilihat berdasarkan dasar dan pelaksanaan pembangunan kerajaan negeri, bukannya sentimen kaum yang dibangkitkan dalam persaingan politik.
Dalam perkembangan berkaitan, Martin berkata GPS menyasarkan kemenangan besar di lapan kawasan majoriti Bidayuh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Katanya, program menghimpunkan calon dan petugas parti dari kawasan berkenaan dianjurkan bagi menyelaraskan gerak kerja serta memperkukuh sokongan terhadap GPS.
“Bukan sahaja kita nak menang, kita nak menang besar. Kita mahu semua petugas bergerak dalam satu haluan dan satu tujuan untuk memenangkan semua kawasan ini bagi GPS,” ujar beliau.
Martin turut menegaskan bahawa dasar pembangunan kerajaan negeri termasuk pendidikan tinggi percuma Sarawak (FTES) dan Sarawak Sovereign Wealth Future Fund perlu terus disampaikan kepada rakyat sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk generasi akan datang.



