HONOR Magic9 Pro Max rasmi dilancarkan, tampil sebagai ‘Raja Pengimejan Sinematik’

Dunia fotografi telefon pintar terus berkembang dengan pelbagai inovasi yang semakin menghampiri kemampuan kamera profesional. Tidak mahu ketinggalan dalam perlumbaan teknologi itu, HONOR secara rasmi melancarkan telefon pintar mercu terbarunya, HONOR Magic9 Pro Max di Malaysia dengan membawa pengalaman pengimejan sinematik menerusi kerjasama bersama ARRI, syarikat teknologi sinema terkemuka dunia.

Ditawarkan pada harga RM5,999, HONOR Magic9 Pro Max hadir dengan gelaran ‘Raja Pengimejan Sinematik’ bersempena ulang tahun ke-10 Siri Magic. Pelancaran kali ini turut memperlihatkan peningkatan besar yang dibawa HONOR, khususnya dalam aspek fotografi, rakaman video dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Apa yang menjadikan peranti ini cukup menarik ialah penggunaan Sistem Pengimejan Sinematik ARRI Dwi 200MP yang menggabungkan teknologi kamera HONOR dengan kepakaran ARRI dalam dunia pembikinan filem profesional.

Menerusi sistem tersebut, pengguna boleh menikmati hasil gambar lebih terperinci dengan sokongan penstabilan CIPA 8.0 pada kamera utama dan telefoto. Teknologi ini membantu mengurangkan gegaran ketika mengambil gambar, sekali gus memastikan hasil rakaman kekal jelas walaupun dalam keadaan cahaya rendah atau ketika menggunakan zum pada jarak jauh.

Bagi mereka yang gemar menghasilkan kandungan video, kehadiran ARRI CINEMA pastinya menjadi antara tarikan utama. Teknologi ini membawa sains warna dan pendekatan pembikinan filem profesional ARRI terus ke dalam telefon pintar menerusi sokongan ARRI LogC3.

Pengguna boleh menghasilkan rakaman dengan warna lebih semula jadi, perincian pada bahagian terang yang lebih baik serta tekstur visual yang memberikan sentuhan sinematik. Lebih menarik, tersedia sembilan tema dan 87 ARRI Looks yang membolehkan pengguna memilih pelbagai suasana visual tanpa perlu melalui proses penyuntingan yang terlalu rumit.

HONOR Magic9 Pro Max turut memperkenalkan ciri ARRI 4K LiveVideo yang membolehkan detik selama tiga saat dirakam dalam gaya sinematik dengan sokongan kesemua 87 ARRI Looks serta nisbah aspek 2.39:1. Ciri ini memberi peluang kepada pengguna mengabadikan momen harian dengan gaya visual yang lebih menyerupai babak filem.

Dari sudut kamera, peranti ini turut dilengkapi kamera utama dengan penstabilan gerakan tiga darjah yang menawarkan kestabilan setaraf gimbal profesional. Kamera telefoto pula menggunakan sensor besar 1/1.4 inci bersama teknologi TrueShift yang mengesan pergerakan sebanyak 1,000 kali sesaat bagi memastikan subjek jauh kekal jelas.

Tidak dilupakan, kamera swafoto turut menerima peningkatan kepada 55MP dengan sensor berformat segi empat sama yang pertama pada peranti Android. Sudut pandangan lebih luas membolehkan pengguna memuatkan lebih ramai individu dan latar pemandangan dalam satu gambar, terutama ketika merakam swafoto berkumpulan.

Bukan sekadar mengutamakan visual, HONOR turut memberikan perhatian kepada kualiti audio menerusi mikrofon berarah gred sinematik yang dibangunkan sendiri. Teknologi ini memfokuskan rakaman kepada sumber bunyi yang disasarkan sambil mengurangkan hingar persekitaran.

Empat mod rakaman disediakan iaitu Long Range, Close Up, Voice Isolation dan Voice Boost. Mikrofon tersebut turut menyokong jarak rakaman sehingga tiga kali ganda berbanding mikrofon omni direksional konvensional, dengan ketepatan 158 peratus lebih tinggi.

Bagi melengkapkan pengalaman fotografi dan videografi, HONOR turut memperkenalkan Teleconverter G200 dan G500. Teleconverter G200 merupakan telepenukar 200mm yang paling kecil dan ringan dalam industri dengan berat hanya 88 gram, manakala G500 menawarkan jarak fokus optik 500mm untuk merakam subjek dari jarak lebih jauh dengan lebih jelas.

Pengguna juga boleh mendapatkan HONOR SmallRig Mobile Video Kit dan rangka pengembangan bagi meningkatkan kestabilan ketika merakam video menggunakan telefon pintar.

Dari segi prestasi, HONOR Magic9 Pro Max menjadi telefon pintar pertama di Malaysia yang dikuasakan Snapdragon 8 Elite Gen 6 Mobile Platform. Dibina menggunakan teknologi 2 nanometer, pemproses ini menggabungkan CPU Qualcomm Oryon, GPU Adreno generasi terbaru dan NPU Hexagon yang dipertingkatkan bagi memberikan prestasi lebih lancar untuk permainan, penggunaan pelbagai aplikasi serta tugasan AI.

Untuk pengguna yang aktif menghasilkan kandungan, kapasiti bateri silikon-karbon 8,000mAh pastinya menjadi satu kelebihan. Pengguna boleh merakam video, mengambil gambar, menyunting kandungan dan menikmati hiburan dalam tempoh lebih panjang tanpa terlalu kerap memikirkan soal bateri.

Peranti ini turut menyokong pengecasan berwayar HONOR SuperCharge 100W dan pengecasan tanpa wayar 80W bagi memudahkan pengguna mengecas telefon dengan lebih pantas.

Aspek ketahanan juga tidak diketepikan apabila HONOR Magic9 Pro Max dilengkapi HONOR Magic Diamond Screen dengan 5,600 lapisan perlindungan. Skrin tersebut menawarkan ketahanan calar sehingga 15 kali ganda dan ketahanan impak akibat jatuh sehingga 25 kali ganda. Ia turut hadir dengan penarafan IP68, IP69 dan IP69K bagi memberikan perlindungan terhadap habuk serta air.

Paparan peranti ini turut menawarkan kecerahan puncak 10,000nit dengan kadar pantulan cahaya serendah 1.5 peratus, sekali gus membantu memastikan paparan kekal jelas walaupun digunakan di bawah cahaya matahari terang.

Menariknya, HONOR turut memperkenalkan beberapa ciri keselamatan berasaskan AI menerusi sistem operasi MagicOS 11. Antaranya termasuk AI Deepfake Detection dan AI Voice Cloning Detection yang membantu mengesan wajah serta suara yang dimanipulasi secara digital ketika panggilan video dan telefon.

Ciri Payment Trust Space pula menjalankan imbasan automatik bagi mengenal pasti potensi risiko keselamatan pembayaran setiap kali aplikasi pembayaran dibuka. Ia menyokong beberapa aplikasi popular termasuk Touch ‘n Go, Maybank, UOB TMRW, ShopeePay, Google Wallet, PayPal dan Wise.

Telefon pintar ini turut dilengkapi butang AI khusus yang memberikan akses pantas kepada ciri seperti AI Screen Suggestions, AI Photos Agent dan AI Memory. Pengguna hanya perlu menekan butang tersebut sebanyak dua kali untuk menyimpan sorotan video.

Dari sudut keserasian pula, HONOR Connect membolehkan pengguna berkongsi fail dengan iPhone menerusi kaedah seakan AirDrop. Peranti ini turut menyokong sambungan dengan Apple Watch untuk pemberitahuan, panggilan dan data kesihatan, selain sambungan terus dengan AirPods serta pemindahan fail daripada peranti Insta360 yang serasi.

Dalam perkembangan sama, HONOR turut memperkenalkan HONOR Pad X9b Max yang ditawarkan pada harga RM1,499. Tablet ini hadir dengan paparan 13 inci beresolusi 2.5K, bateri berkapasiti 10,100mAh serta pensijilan IMAX Enhanced bagi memberikan pengalaman tontonan lebih mengasyikkan.

Setiap pembelian HONOR Pad X9b Max turut disertakan pakej hadiah percuma bernilai RM598 yang merangkumi Smart Bluetooth Keyboard dan USB-C Pencil.

HONOR juga memperluaskan ekosistem pintarnya menerusi pengenalan barisan produk AIoT terbaru yang merangkumi peranti keselamatan rumah, penyelesaian pengecasan, peranti audio dan produk penjagaan diri.

Antara produk yang diperkenalkan ialah HONOR CHOICE Security Camera yang ditawarkan pada harga RM129. Enam lagi produk termasuk HONOR SuperCharge Power Adapter Max 80W, HONOR CHOICE CX 45W GaN Charger, HONOR CHOICE ES 22.5W Built-in Cable Power Bank, HONOR CHOICE Smart Audio Glasses, HONOR CHOICE Sound 2 dan HONOR CHOICE WOF High-Speed Dryer Pro akan ditawarkan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, pelancaran HONOR Magic9 Pro Max turut diserikan dengan penglibatan jenama tersebut dalam Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) sebagai tanda sokongan terhadap industri perfileman tempatan.

Menerusi acara berkenaan, Datuk Afdlin Shauki dan Amelia Henderson turut merakamkan wefie bersama para hadirin menggunakan HONOR Magic9 Pro Max ketika siaran anugerah berlangsung.

Sebagai penghargaan terhadap pencapaian penggiat seni tempatan, pemenang kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Sinematografi Terbaik masing-masing menerima sebuah HONOR Magic9 Pro Max.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan telefon pintar ini, pra-tempahan kini dibuka sehingga 3 Disember 2026. Pembeli berpeluang menikmati pakej hadiah percuma bernilai RM4,009 yang merangkumi rebat segera RM300, kupon Professional Imaging Kit bernilai RM300, HONOR Magic9 Pro Max Magnetic Swap Case serta pembesar suara Harman Kardon Aura Studio 5.

Pakej tersebut turut dilengkapi perlindungan kerosakan cecair, skrin dan penutup belakang selama setahun, waranti lanjutan setahun, perkhidmatan penggantian bateri selama dua tahun serta akses percuma Google AI Pro selama tiga bulan.

HONOR Magic9 Pro Max hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Moss Green, Glacier Silver dan Shadow Black dengan RAM 24GB termasuk 12GB HONOR Turbo RAM serta storan 512GB. Telefon pintar ini akan mula dijual di seluruh negara pada 4 Disember 2026.

Pra-tempahan boleh dibuat menerusi HONOR Experience Store, kedai dalam talian rasmi HONOR Malaysia serta kedai rasmi di Shopee, Lazada dan TikTok Shop. Ia turut boleh didapati melalui rakan niaga terpilih termasuk Harvey Norman, Senheng, SenQ dan Urban Republic.

Dengan gabungan teknologi pengimejan ARRI, prestasi mercu, bateri berkapasiti besar serta ciri keselamatan AI, HONOR Magic9 Pro Max hadir sebagai antara pelancaran yang mencuri perhatian dalam segmen telefon pintar premium. Lebih daripada sekadar alat merakam gambar, peranti ini membawa peluang kepada pengguna untuk menjadikan setiap detik biasa sebagai sebuah cerita yang lebih bermakna untuk dikenang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat