Ketelusan atau gugat institusi diraja? – Ti Lian Ker persoal motif Tony Pua

KUALA LUMPUR – Tindakan ahli DAP Tony Pua mendedahkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung permohonan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak menimbulkan persoalan sama ada langkah itu bertujuan meningkatkan ketelusan atau mengheret institusi diraja ke dalam pertikaian politik.

Bekas Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, terdapat perbezaan antara tuntutan ketelusan dengan tindakan yang boleh menjejaskan martabat serta kewibawaan institusi diraja.

Beliau mempersoalkan keperluan mendedahkan pihak yang membantah cadangan tahanan rumah itu, sedangkan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif pengampunan seperti diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, berdasarkan minit mesyuarat yang didedahkan Tony Pua, Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, membantah cadangan pengaturan tahanan rumah terhadap Najib.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong kemudiannya menggunakan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

“Adakah ini benar-benar soal ketelusan atau sebenarnya usaha mengawal kerosakan politik?

“Mengapa begitu penting untuk mendedahkan siapa yang membantah dan siapa yang menyokong sesuatu cadangan dalam perbincangan Lembaga Pengampunan?

“Adakah tujuannya sekadar menjelaskan pendirian kerajaan atau turut menjadi usaha menjauhkan DAP daripada keputusan diraja yang tidak selesa dari sudut politik?” katanya.

Lian Ker berkata, pendedahan perbincangan dalaman, bantahan dan reaksi anggota lembaga secara terpilih kepada umum berisiko menjadikan pelaksanaan kuasa prerogatif diraja sebagai satu lagi gelanggang pertarungan politik.

Malah, katanya, tindakan sedemikian boleh membuka ruang kepada orang ramai meneliti, mempersoalkan dan memperdebatkan keputusan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan perbezaan pandangan anggota Lembaga Pengampunan.

Beliau turut mempersoalkan pendirian DAP yang menurutnya perlu konsisten dalam menghormati prinsip perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, termasuk apabila sesuatu keputusan diraja tidak selari dengan pendirian politik parti itu.

“Apabila sesuatu keputusan memihak kepada pendirian politik mereka, DAP akan mengangkat prinsip perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Tetapi apabila keputusan diraja tidak menyenangkan dari sudut politik, adakah parti itu boleh mendedahkan perbincangan serta bantahan individu bagi menunjukkan wakil mereka tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan?” katanya.

Dalam pada itu, Lian Ker berkata, persoalan mengenai kerahsiaan dan kesucian proses Lembaga Pengampunan juga perlu diberikan perhatian, khususnya berhubung proses penyahklasifikasian minit mesyuarat berkenaan.

Beliau membangkitkan persoalan mengenai pihak yang memberikan kebenaran penyahklasifikasian, sama ada prosedur sewajarnya dipatuhi dan sama ada pihak Istana dirujuk sekiranya diperlukan.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, juga dilaporkan memaklumkan bahawa cadangan penyahklasifikasian itu tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet, sekali gus memerlukan pihak berkuasa menjelaskan proses berkenaan.

Bagaimanapun, Ti menegaskan bahawa anggota Lembaga Pengampunan berhak menyuarakan pandangan masing-masing dan melaksanakan tanggungjawab perlembagaan mereka.

“Perbezaan pendapat terhadap sesuatu cadangan keputusan bukanlah dengan sendirinya satu perbuatan derhaka.

“Begitu juga ketelusan dan akauntabiliti awam merupakan prinsip penting dalam demokrasi.

“Tetapi ketelusan tidak seharusnya dijadikan alat politik untuk mengalihkan tanggungjawab, memalukan individu atau menghakis keyakinan masyarakat terhadap institusi perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan institusi diraja perlu kekal berada di atas kepentingan politik kepartian dan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong bukanlah sesuatu yang boleh dituntut, dipertahankan atau dieksploitasi oleh mana-mana parti politik termasuk DAP, Barisan Nasional (BN) mahupun Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, sekiranya Yang di-Pertuan Agong telah melaksanakan kuasa prerogatif berdasarkan Perlembagaan, persoalan sewajarnya tertumpu kepada aspek kesahan, pelaksanaan dan proses perlembagaan keputusan itu.

Katanya, Istana dan Lembaga Pengampunan tidak sepatutnya dijadikan medan pertarungan politik untuk meraih mata politik masing-masing.

“Perlu ada garis pemisah yang jelas antara mempersoalkan tindakan kerajaan dengan mempersoalkan kesahihan atau kewibawaan Institusi Diraja.

“Tony Pua dan DAP perlu merenung kembali di manakah terletaknya garis pemisah itu,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat