Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Persidangan International Islamic Fiqh Academy (IIFA) Kali Ke-27 bakal berlangsung di Hotel Marriott Putrajaya, dekat sini pada 30 November hingga 3 Disember ini.
Pemakluman terkini ini merupakan pengemaskinian kepada hebahan awal yang telah dikeluarkan pada 21 September lalu, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee.
Menurut Dr. Sirajuddin, persidangan antarabangsa ini bakal menghimpunkan tokoh ulama, ilmuwan dan pakar pelbagai bidang dari seluruh dunia bagi membincangkan isu-isu fiqh kontemporari yang memerlukan penelitian ilmiah dan pertimbangan hukum syarak secara mendalam.
“Antara perkara utama yang akan dibincangkan dalam persidangan ini merangkumi tujuh bidang perbincangan, iaitu isu semasa dan kecerdasan buatan (AI), isu-isu perubatan semasa, dan isu-isu kekeluargaan semasa.
“Selain itu, isu semasa dalam industri kewangan, fiqh kehidupan bersama (fiqh ta‘ayush), akhlak dan perbuatan Nabi SAW serta isu-isu semasa berkaitan istihsan.
“Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah persidangan ini turut membuka ruang kepada pengukuhan kerjasama ilmiah di peringkat antarabangsa.
“Di samping itu, memperluas sumbangan Malaysia dalam wacana fiqh dan pembangunan pemikiran Syariah yang responsif terhadap keperluan ummah sejagat, ”katanya dalam kenyataan. – SUARA.TV



