DOHA – Malaysia menggesa pendekatan ketersambungan digital global diperluas melangkaui kawasan berpenduduk dengan turut memberi tumpuan kepada lokasi ekonomi utama seperti pelabuhan, rangkaian kereta api dan lebuh raya.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, akses Internet yang stabil di kawasan berkenaan semakin penting bagi menyokong operasi perniagaan, pertumbuhan ekonomi serta daya tahan negara.
Menurutnya, Malaysia sedang meneroka konsep liputan kawasan ekonomi atau Coverage of Economic Areas (CoEA) bagi melengkapkan pendekatan liputan kawasan berpenduduk atau Coverage of Populated Areas (CoPA) yang digunakan ketika ini.
“Berpandukan kemajuan itu, kita kini meneliti bagaimana untuk memperluas liputan melangkaui CoPA, dan turut merangkumi Coverage of Economic Areas (CoEA).
“Ini bermakna liputan perlu diperluas ke lokasi seperti pelabuhan, rangkaian kereta api dan lebuh raya, yang memerlukan akses Internet stabil bagi menyokong operasi perniagaan, pertumbuhan ekonomi dan daya tahan,” katanya, menurut laporan Bernama.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan dasar negara pada Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26) di Doha pada 9 November.
Fahmi berkata, Malaysia berharap ITU dapat meneroka konsep berkenaan bersama negara anggota sebagai pendekatan tambahan untuk menilai tahap ketersambungan serta memajukan pembangunan digital yang inklusif dan mampan.
Mengulas pencapaian negara, beliau berkata Malaysia mencatatkan kemajuan ketara dalam peluasan infrastruktur digital menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), khususnya di kawasan yang kurang mendapat liputan.
“Setakat September 2026, liputan Internet di kawasan berpenduduk di seluruh negara mencapai 99.75 peratus, manakala langganan 5G mencecah 31.3 juta,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan peluasan infrastruktur telekomunikasi hanyalah langkah permulaan untuk mencapai transformasi digital yang bermakna.
Katanya, peningkatan akses perlu disertai usaha membekalkan masyarakat dengan kemahiran digital serta peluang memanfaatkan ketersambungan tersebut.
“Bagi Malaysia, ketersambungan bukan sekadar mengenai infrastruktur. Sebaliknya, ia bertujuan mewujudkan peluang, memperkasa masyarakat dan meningkatkan kualiti hidup,” katanya.
Sehubungan itu, Fahmi berkata Malaysia terus memperkukuh keterangkuman digital menerusi 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), yang membantu masyarakat meningkatkan kemahiran digital dan meneroka peluang keusahawanan.
Menurutnya, penyertaan NADI dalam rangkaian Pusat Transformasi Digital ITU pada April 2026 turut memperkukuh komitmen negara untuk memperkasakan masyarakat melalui teknologi.
Dalam aspek keselamatan dalam talian, beliau berkata ketersambungan yang bermakna perlu disokong persekitaran digital yang selamat dan dipercayai.
Katanya, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang berkuat kuasa pada Januari 2026 memperkukuh akauntabiliti penyedia platform serta perlindungan pengguna Internet, terutama kanak-kanak, daripada kemudaratan dalam talian.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kempen Keselamatan Internet di seluruh negara telah mencapai lebih tiga juta peserta menerusi usaha meningkatkan literasi digital dan menggalakkan tingkah laku bertanggungjawab ketika menggunakan Internet.
Pada persidangan sama, Fahmi menegaskan komitmen Malaysia terhadap kerjasama antarabangsa bagi memajukan agenda digital serta memohon sokongan negara anggota terhadap pencalonan Malaysia untuk dipilih semula sebagai anggota Majlis ITU bagi penggal 2027–2030.
Malaysia menjadi anggota ITU sejak 1958 dan kini menganggotai majlis pertubuhan berkenaan.
“Marilah kita bekerjasama bagi memastikan semua pihak dapat menikmati manfaat digital yang saling terhubung, inklusif dan selamat,” katanya.
Persidangan bertemakan “Together for A Connected, Digital Future” itu menghimpunkan negara anggota ITU bagi membincangkan keutamaan telekomunikasi global dan hala tuju pembangunan digital.
Fahmi mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja ke Doha dari 6 hingga 11 November, diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran.
Delegasi itu turut disertai wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat telekomunikasi, termasuk Telekom Malaysia, CelcomDigi, Maxis dan U Mobile. – BERNAMA/SUARA.TV



