Polis Kedah lumpuhkan tujuh kumpulan sindiket penipuan ‘Calling Centre’

Oleh Zihan Zari

ALOR SETAR – Polis Kedah berjaya melumpuhkan tujuh kumpulan sindiket penipuan dalam talian (calling centre) di negeri itu bagi tempoh Januari sehingga Oktober lalu, melibatkan penahanan seramai 87 individu yang terdiri daripada 75 lelaki dan 12 perempuan.

Tangkapan terdiri daripada 27 warganegara tempatan (22 lelaki dan 5 perempuan). Manakala warga asing pula melibatkan 15 lelaki dari China; 33 warga Pakistan (28 lelaki dan 5 perempuan); 8 warga India (6 lelaki dan 2 perempuan); serta 4 lelaki dari Bangladesh.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Polis (CP) Dato’ Adzli Abu Shah berkata, soal siasat yang dijalankan terhadap suspek yang ditahan mendedahkan bahawa golongan sasaran sindiket penipuan ini terdiri daripada warganegara tempatan serta luar negara termasuk Thailand, Jepun, China, Australia, India dan Bangladesh.

Menurut beliau, hasil siasatan yang telah dijalankan memperlihatkan kepelbagaian taktik serta modus operandi sindiket yang menggunakan kemudahan komunikasi dan teknologi bagi memperdaya mangsa untuk mendapatkan keuntungan secara tidak sah.

Antara modus operandi yang dikenal pasti termasuklah penyalahgunaan transaksi kewangan dalam institusi perbankan, tawaran nombor ramalan tidak wujud secara dalam talian, penipuan percintaan (Love Scam), tawaran kerja sambilan tidak wujud (Job Scam), serta penipuan telekomunikasi (Phone Scam) yang melibatkan penyamaran identiti sebagai pegawai penguat kuasa.

“Pihak polis turut merampas pelbagai peralatan dan barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut, termasuklah: telefon bimbit, komputer, modem, router, kad ATM, kad prabayar, kad SIM, dan monitor.

“Selain itu, pakaian seragam agensi penguat kuasa serta pelbagai peranti komunikasi dan dokumen turut dirampas, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM300,000.

“Penemuan pelbagai peralatan ini menunjukkan bahawa kegiatan ‘calling centre’ mempunyai jaringan rangkaian yang luas dan berskala besar. Ini bagi menjalankan operasi sindiket dengan lebih licik dan teratur (organised), manakala sasaran mangsa merentasi sempadan negara,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, kesemua ahli kumpulan sindiket yang ditangkap telah berjaya didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B (Pakatan Jahat) Kanun Keseksaan, serta peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Berdasarkan trend terkini, kumpulan sindiket ini lebih gemar memilih premis hotel atau resort yang terbiar sebagai lokasi strategik ‘calling centre’ kerana ia lebih privasi, mempunyai ruang yang luas, dan kawalan yang mudah. Sebuah hotel atau resort mempunyai banyak bilik dan ruang yang boleh diubah menjadi pusat operasi serta pada masa yang sama sebagai tempat penginapan mereka,” ujarnya.

Ujarnya lagi, orang ramai terutamanya pemilik premis diseru supaya segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya premis mereka disewa dan dijadikan pusat operasi berkaitan aktiviti ‘calling centre’.

“Pihak polis menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan jenayah seperti ini, dan mereka akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali dan panggilan yang mencurigakan.

“Jangan mudah mempercayai individu yang tidak dikenali melalui platform dalam talian, apatah lagi menyerahkan wang, berkongsi maklumat peribadi, nombor akaun bank, atau kod pengesahan transaksi (TAC) kepada mana-mana pihak yang tidak dapat disahkan kesahihannya. Elakkan juga menekan pautan (link) yang tidak dikenali kerana perkara ini boleh menyebabkan seseorang menjadi mangsa penipuan siber atau godaman,” tambahnya.

Tambahnya lagi, sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 dengan seberapa segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun bank suspek.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat