Kalau selama ini teh lebih sinonim dengan minuman panas atau segelas teh ais yang menyegarkan, Tealive kini mengajak peminatnya menikmati teh dengan cara yang sedikit berbeza. Bayangkan gabungan aroma teh, kesegaran buah-buahan dan gelembung karbonasi ringan dalam satu tin. Menariknya, ia bukan sekadar minuman berkarbonat biasa, sebaliknya hadir dengan sentuhan prebiotik.
Menerusi pelancaran Sparkling Prebiotic Tea Soda, Tealive memperkenalkan rangkaian teh prebiotik berkarbonat pertama di Malaysia dalam format sedia diminum (RTD). Satu pembaharuan yang membawa pengalaman menikmati teh ke arah lebih moden, khususnya buat pengguna yang gemarkan minuman menyegarkan dan mudah dibawa ke mana-mana.
Majlis pelancaran yang berlangsung hari ini turut disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan bin Mohd Ali. Beliau menyambut baik usaha Tealive dalam meneroka kategori minuman baharu, sekali gus memperlihatkan potensi jenama tempatan untuk terus menghasilkan produk inovatif yang mampu bersaing di pasaran lebih luas.
Bagi Tealive, pengenalan produk ini bukan sekadar mahu menambah satu lagi pilihan minuman di pasaran, tetapi membuka ruang kepada peminat teh untuk menikmati minuman kegemaran mereka dalam bentuk yang lebih segar dan berbeza.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo, teh sudah lama menjadi sebahagian daripada identiti Tealive. Namun, seiring perubahan gaya hidup dan cita rasa pengguna, cara menikmati teh juga perlu berkembang.

Sebab itu, Tealive Sparkling tampil dengan gabungan teh yang dibru sejuk, jus buah sebenar dan karbonasi ringan. Ia turut mengandungi prebiotik serta tidak menggunakan pewarna tiruan, menjadikannya satu lagi pilihan buat mereka yang ingin mencuba sesuatu di luar kebiasaan.
Apa yang lebih menarik, rangkaian ini hadir dengan empat pilihan perisa yang mempunyai karakter tersendiri. Passion Fruit Pineapple Tea menawarkan gabungan rasa markisa dan nanas yang cukup menyegarkan, manakala Lychee Oolong Tea membawa sentuhan manis laici bersama aroma teh oolong yang tersendiri.
Bagi yang menggemari rasa lebih lembut dan beraroma, White Peach White Tea menggabungkan rasa buah pic putih dengan teh putih. Sementara itu, Apple Lemon Oolong Tea pula memberikan kombinasi epal dan lemon yang menyatukan rasa buah-buahan dengan aroma teh oolong.
Setiap perisa memberikan pengalaman berbeza, sesuai dinikmati ketika bersantai, dalam perjalanan atau ketika memerlukan sesuatu yang menyegarkan di tengah kesibukan harian.
Kehadiran duta jenama Tealive, Amelia Henderson, turut memeriahkan majlis pelancaran apabila beliau memperkenalkan rangkaian minuman baharu itu kepada tetamu dan wakil media. Kehadirannya juga memberi peluang kepada peminat untuk beramah mesra, selain mencuba sendiri pilihan perisa yang diperkenalkan.
Menariknya, langkah Tealive ini turut memperlihatkan bagaimana jenama tempatan mampu bergerak seiring perubahan industri minuman yang semakin kompetitif. Bermula di Malaysia pada 2017, Tealive kini telah berkembang ke sembilan pasaran antarabangsa. Malah, jenama itu mempunyai 40 cawangan di Filipina dan menyasarkan peningkatan kepada 100 cawangan menjelang 2028.
Terbaru, Tealive turut mengembangkan sayap ke Bangladesh pada Oktober 2026 menerusi pembukaan tiga cawangan.
Bagi yang ingin mencuba sendiri kelainan ini, Tealive Sparkling kini boleh didapati di cawangan terpilih 7-Eleven, Econsave, Jaya Grocer, Village Grocer, Petron, BilaBila Mart dan The Food Merchant, selain melalui platform e-dagang Tealive.
Dalam dunia yang sentiasa menawarkan pelbagai pilihan minuman, Tealive nampaknya mahu membuktikan bahawa teh masih mempunyai banyak sisi yang boleh diterokai. Daripada secawan teh yang dinikmati secara tradisional kepada minuman berkarbonat dalam tin, perubahan ini membuka satu lagi ruang untuk menikmati rasa teh dalam gaya yang lebih santai dan bersesuaian dengan kehidupan masa kini.


