Peguam Negara nafi ingkar titah Agong, mahu mahkamah tentukan kesan perintah pelepasan Najib

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan pihaknya tidak mempertikaikan, mengetepikan atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, AGC berkata, penentuan mahkamah diperlukan bagi memperjelaskan kesan undang-undang Perintah Pelepasan bertarikh 6 November 2026 terhadap baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International serta implikasinya terhadap tarikh permulaan hukuman bagi kes 1MDB.

Dalam kenyataan hari ini, AGC menjelaskan persoalan itu timbul susulan pembayaran denda RM50 juta dan pengeluaran perintah pelepasan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tarikh sama.

Menurut jabatan itu, perintah berkenaan mengarahkan pelepasan Najib selepas pembayaran denda, namun pada masa sama turut menyatakan beliau hendaklah menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.

Justeru, AGC berpandangan mahkamah perlu menentukan sama ada pelepasan tersebut hanya berkaitan pembayaran denda dan membolehkan baki hukuman SRC International diteruskan melalui tahanan rumah, atau membawa kesan bahawa hukuman kes berkenaan telah selesai.

“Persoalan yang dibangkitkan oleh AGC bukanlah mengenai keesahan atau kewibawaan Perintah Pengampunan Bersyarat tersebut,” menurut kenyataan itu.

AGC menjelaskan perkara berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan perintah hukuman dalam kes 1MDB yang, menurut jabatan itu, menetapkan hukuman penjara bagi kes tersebut bermula selepas hukuman SRC International selesai dijalani.

Jabatan itu turut menyatakan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB telah ditolak Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober 2026.

Menurut AGC, sekiranya hukuman SRC International masih berkuat kuasa, pelaksanaan baki hukuman tersebut perlu dibuat selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.

Bagaimanapun, sekiranya hukuman itu telah selesai dari segi undang-undang, kesannya terhadap permulaan hukuman kes 1MDB perlu ditentukan.

“Kedua-dua kemungkinan ini mempunyai implikasi undang-undang yang berbeza dan tidak sewajarnya diputuskan berdasarkan andaian atau tafsiran sebelah pihak,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab kenyataan Tetuan Shafee & Co., peguam yang mewakili Najib, bertarikh 6 November berhubung pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat bertarikh 18 September 2026 dan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah.

AGC berkata, pihaknya memandang serius dakwaan bahawa Peguam Negara bertindak melampaui bidang kuasa, mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, mengetepikan perintah mahkamah serta menyebabkan penahanan Najib secara tidak sah.

Jabatan itu turut menolak gambaran bahawa tindakan mendapatkan penjelasan undang-undang merupakan percubaan mengambil alih atau melaksanakan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, kuasa pengampunan dan kuasa mahkamah untuk mentafsir serta menentukan kesan undang-undang sesuatu perintah merupakan dua perkara berbeza.

“Mendapatkan keputusan Mahkamah mengenai pelaksanaan sesuatu perintah tidak sama sekali bermaksud mempersoalkan kewibawaan pihak yang mengeluarkan perintah tersebut,” katanya.

AGC turut menyifatkan dakwaan yang menggambarkan tindakan Peguam Negara sebagai penghinaan atau penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak berasas berdasarkan persoalan undang-undang yang dibangkitkannya.

Dalam masa sama, jabatan itu menegaskan penentuan segera mahkamah penting bagi memelihara hak Najib sendiri, termasuk mengelakkan beliau menjalani tahanan melebihi tempoh sepatutnya sekiranya hukuman SRC International diputuskan telah selesai.

Menurut AGC, persoalan mengenai tanggungjawab pihak berkuasa penjara juga hendaklah ditentukan berdasarkan kewajipan undang-undang dan perintah yang terpakai, bukannya melalui dakwaan tanpa asas fakta yang jelas.

Sehubungan itu, AGC berpandangan kesan undang-undang Perintah Pelepasan tersebut wajar dirujuk segera kepada mahkamah bagi mendapatkan penentuan dan arahan yang jelas.

“Langkah ini bukan bertujuan melengahkan atau menggagalkan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat, sebaliknya untuk mengelakkan percanggahan dalam pelaksanaan perintah-perintah yang berkuat kuasa serta memastikan bahawa tiada hukuman dilaksanakan secara tidak sah,” katanya.

AGC menambah pihaknya kekal komited menjunjung dan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong, menghormati perintah mahkamah serta memastikan setiap hukuman dilaksanakan secara sah, teratur dan tepat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat