KUALA LUMPUR – Sekiranya semua Menteri dan Timbalan Menteri DAP ada prinsip dan maruah sepatutnya mereka meletak jawatan yang disandang dalam Kabinet dan menarik sokongan serta keluar dari Kerajaan Madani.
Pemimpin Umno Tan Sri Noh Omar mendakwa, terbukti jelas pemimpin DAP biadab dan hendak menjadi hero tidak bersetuju dengan pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong dan sanggup meletak jawatan sebagai Menteri Madani.
“Saya telah membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berhubung pelaksanaan perintah tahanan rumah kepada Datuk Seri Najib Razak yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Kenyataan Anthony Loke berkaitan peletakan jawatannya sebagai Menteri akan berkuat kuasa apabila Najib menjejakkan kakinya di rumah adalah satu kenyataan yang biadab bukan saja tidak menghormati keputusan Lembaga Pengampunan tetapi mengingkari titah perintah Agong.
“Sewajarnya Setiausaha Agung DAP mengetahui bahawa wakil DAP juga ada dalam Lembaga Pengampunan menerusi Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh.
“Terbukti jelas pemimpin DAP ini biadab dan hendak menjadi hero tidak bersetuju dengan pelaksanaan titah Agong dan sanggup meletak jawatan sebagai Menteri Madani. Jika semua Menteri dan Timbalan Menteri DAP ada prinsip dan maruah sepatutnya mereka meletak jawatan yang disandang dalam Kabinet dan menarik sokongan serta keluar dari Kerajaan Madani.
“Saya amat menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong yang telah menitahkan agar pelaksanaan menjalani baki hukuman tahanan rumah kepada Najib diteruskan setelah bayaran RM50 juta dilunaskan,” katanya.



