Politik Malaysia tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada formula lama yakni membangkitkan kebimbangan kaum, memainkan sentimen agama, kemudian tampil sebagai penyelamat.
Formula ini mungkin berkesan untuk menggerakkan emosi pengundi, tetapi persoalannya, sejauh mana ia mampu menyelesaikan masalah sebenar negara ?.
Dalam PRN Melaka, kita sekali lagi melihat bagaimana isu identiti dijadikan medan persaingan politik. BN dan PN mempunyai kecenderungan untuk menjadikan sentimen Melayu dan agama sebagai antara senjata utama meraih sokongan.
Sedangkan pengundi hari ini, khususnya kelompok profesional dan kelas menengah, semakin berhadapan dengan persoalan yang lebih kompleks.
Mereka mahu tahu ke mana hala tuju ekonomi negara, bagaimana peluang pekerjaan berkualiti diwujudkan, sejauh mana pendidikan mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran, bagaimana pelaburan diterjemahkan kepada pendapatan rakyat dan apakah jaminan bahawa wang awam diurus dengan penuh integriti.
Inilah perbezaan antara politik yang menjual kebimbangan dengan politik yang menawarkan penyelesaian.
Hak orang Melayu, kepentingan kaum lain dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sudah mempunyai kerangka perlindungan melalui Perlembagaan.
Perkara ini bukan lesen untuk mana-mana parti mendakwa hanya mereka mempunyai hak eksklusif mempertahankannya.
Golongan profesional lazimnya mempunyai ruang dan akses untuk menilai perkara ini melalui data, laporan ekonomi, rekod pentadbiran serta prestasi institusi.
Di sinilah Pakatan Harapan mempunyai ruang politik yang lebih besar. Pendekatan berasaskan reformasi institusi, tadbir urus, keterbukaan dan dasar ekonomi boleh menjadi daya tarikan kepada pengundi yang mahukan politik lebih matang.
Namun, PH juga tidak terkecuali daripada penilaian. Janji reformasi mesti dibuktikan, kelemahan pentadbiran mesti diperbaiki dan setiap keputusan kerajaan mesti boleh dipertanggungjawabkan. Sokongan rakyat bukan cek kosong.
Pengalaman 1MDB sepatutnya menjadi peringatan paling jelas bahawa rakyat boleh membayar harga yang sangat mahal apabila kuasa politik tidak disertai semak dan imbang. Jangan sampai kita mengulangi kesilapan sama hanya kerana terpesona dengan slogan dan sentimen.
Jadikan PRN Melaka sebagai medan persoalan yang lebih penting iaitu pihak mana yang siapa mempunyai keupayaan, integriti dan dasar yang lebih meyakinkan untuk mentadbir negeri.
Bangsa dan agama tidak sepatutnya menjadi alat untuk menutup kelemahan politik. Begitu juga reformasi tidak sepatutnya menjadi slogan tanpa pelaksanaan.
Sudah tiba masanya pengundi menilai politik dengan akal, bukan ketakutan.
Pilih berdasarkan rekod, bukan retorik. Kerana yang menanggung akibat daripada pilihan kita hari ini bukan ahli politik, tetapi generasi yang akan mewarisi negara ini.



