KUALA LUMPUR – Satu sindiket memalsukanm cap keselamatan imigresen dengan bayaran antara RM70 hingga RM100 untuk setiap cap palsu yang ditawarkan kepada warga asing tanpa pas yang sah atau tinggal lebih masa menerusi aplikasi Whatsapp telah dibongkat.
Perbuatan keji itu terdedah selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan tiga individu dalam operasi khas di Kajang, Selangor dan Pandan Perdana di Kuala Lumpur Selasa lepas.
Dalam satu kenyataan hari ini Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi kira-kira pukul 11 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggot Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selepas risikan dilakukan selama sebulan.
“Kita menahan seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand berusia antara 40 hingga 45 tahun itu dipercayai dalang utama dan ahli sindiket terbabit.
“Semakan awal mendapati seorang wanita warga Thailand yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (Pasangan Warganegara Malaysia), manakala seorang lagi memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS),” katanya dalam kenyataan itu.
Kata beliau, JIM turut merampas dua cap keselamatan endosmen Pas Lawatan dan satu cap keselamatan endosmen keluar yang dipalsukan dalam operasi itu.
“Kita turut merampas kepingan getah cap keselamatan endosmen Pas Lawatan dan endosmen keluar, dua cap tarikh, lima pad dakwat merah dan biru serta enam pasport Thailand.
“Selain itu, kita turut menyita satu pas sempadan Thailand, lima telefon bimbit, dua buku catatan dan kunci premis,” katanya.
Zakaria memaklumkan, modus operandi sindiket adalah dengan memalsukan cap keselamatan endosmen Imigresen yang dikeluarkan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Sindiket dipercayai mempromosikan perkhidmatan itu menerusi aplikasi WhatsApp dengan mengenakan bayaran antara RM70 hingga RM100 bagi setiap cap palsu yang diturunkan pada pasport pelanggan,” katanya.
Belial berkata, pelanggan hanya perlu menghantar pasport tanpa perlu bersemuka bagi mengelakkan identiti mereka dikesan.
“Selain menyasarkan warga asing khususnya rakyat Thailand yang tidak mempunyai pas sah atau tinggal lebih masa, terdapat kemungkinan pelanggan sendiri tidak menyedari cap keselamatan yang tertera pada pasport mereka adalah palsu,” katanya.
Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai mampu memperoleh keuntungan sehingga RM15,000 sebulan menerusi kegiatan itu.
“Lelaki tempatan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala dua wanita warga Thailand disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) akta sama,” katanya.
Menurutnya, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.
“JIM akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian lain yang terlibat serta mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara,” katanya.


