Mohammad Shaharul Md Osman dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Pahang yang baharu

KUALA LUMPUR – Negeri Pahang menerima seorang Ketua Polis Negeri yang baharu selepas Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman Datuk Mohammad Shaharul Md Osman dilantik sebagai Ketua Polis negeri itu bermula 7 Disember depan.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Polis Malaysia Deputi Komisioner Mohamad Mashdik Yahya berkata pertukaran itu turut melibatkan pelantikan Pesuruhjaya Polis Sabah dan Sarawak yang baharu.

Pelantikan itu membabitkan 19 orang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diumumkan hari ini.

Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dengan memangku pangkat Komisioner.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak pula dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak dengan memangku pangkat Komisioner.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Mohd Yusri Othman dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

“Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Sabah, Datuk Abdul Fuad Abdul Malek pula dilantik sebagai Komander ESSCOM dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

“Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Zailanni Amit dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak dengan memangku pangkat Deputi Komisioner,” menurut kenyataan yang dikeluarkan

Pertukaran lain membabitkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Kepolisan Am), Bahagian Kepolisan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

“Jawatan beliau di Kuala Lumpur akan diisi Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintendan Suffian Abdullah yang memangku pangkat Asisten Komisioner.

“Pengarah Operasi Bersepadu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Asisten Komisioner Yusri Mahmud pula dilantik sebagai Komander 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas di Ulu Kinta, Perak dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner,” katanya.

Turut terbabit, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, manakala Superintendan Yampil anak Garai dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Lahad Datu, kedua-duanya akan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Pertukaran itu turut membabitkan beberapa jawatan kanan lain di Bukit Aman, Sarawak, Sabah, Kedah dan Selangor.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat