Istilah menggerunkan tidak menjadikan sesuatu tuduhan lebih berasas – PH Melaka tempelak Hadi

MELAKA – Rakyat Melaka wajar menilai Pas melalui kenyataan dan tindakannya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari menegaskan, politik yang menggunakan label agama melampau berisiko memecahbelahkan masyarakat berbilang bangsa dan agama.

“PH Melaka membidas kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyamakan pendekatan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan pendekatan “Dajjal”.

“Perjanjian politik mesti dinilai melalui kandungan dan hujah, bukannya label agama yang melampau.

“(Bagaimanapun) Kami bersetuju bahawa hasil negara ialah hak seluruh rakyat dan kebajikan mereka tidak boleh disyaratkan dengan sokongan politik.

“Jika ada fasal CSA yang menafikan prinsip ini, nyatakan fasalnya dan kemukakan bukti.

“Istilah yang menggerunkan tidak menjadikan sesuatu tuduhan lebih berasas,” tegas Adly.

Beliau mengingatkan, Pas sepatutnya mengambil pengajaran daripada Amanat Haji Hadi yang disampaikan di Banggol Peradong pada 7 April 1981.

“Penerbitan Jabatan Mufti Negeri Melaka merekodkan perpecahan yang dikaitkan dengannya, termasuk pertelingkahan keluarga, pemulauan kenduri dan pertikaian sembelihan.

“Fatwa mengenai amanat tersebut diwartakan di Melaka pada 25 Julai 2002, dengan ketetapan bahawa ia bercanggah dengan ajaran Islam, kepentingan masyarakat Islam serta kemuliaan agamanya, dan prinsip dakwah Islamiah.

“Penyebaran, pengajaran serta pengamalannya turut dilarang.

“Melaka kemudian mewartakan fatwa Larangan Kafir Mengkafir Sesama Umat Islam pada 26 September 2013. Walaupun label “Dajjal” tidak sama dengan menghukum seseorang kafir, kedua-dua rekod ini wajar mengingatkan semua pihak tentang batas pertikaian politik dan pentingnya memelihara persaudaraan.

“Adakah Pas mahu terus mempertahankan politik melabel? Sekutu-sekutunya juga perlu menyatakan pendirian.

“PH Melaka menolak penggunaan sentimen agama untuk menakutkan rakyat dan menegaskan bahawa persaudaraan sesama Islam, penghormatan sesama manusia serta keadilan kepada semua ialah asas kerukunan Malaysia.

“Jangan sampai rakyat bermusuh sesama jiran dan keluarga, sedangkan pemimpin yang mencetuskan pertelingkahan sudah bersalaman mencari gabungan baharu,” kata Adly.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat