Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 yang dijadualkan berlangsung pada 14 November 2026 bakal menyaksikan perubahan besar dalam landskap persaingan politik negeri itu.
Dengan 79 calon bersaing merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), penyatuan BN-PN mengubah matematik pilihan raya, khususnya di kawasan majoriti Melayu yang sebelum ini menyaksikan pertembungan antara UMNO, PAS dan Bersatu.
Namun, kelebihan tersebut tidak semestinya menjadikan laluan BN-PN menuju kemenangan sebagai sesuatu yang mudah.
Di sebalik kekuatan jentera dan penyatuan undi, adakah penyokong kedua-dua parti benar-benar bersedia menerima calon daripada rakan politik yang selama ini menjadi lawan ?.
PRN Melaka kali ini bukan hanya menguji kekuatan gabungan BN-PN, tetapi turut menguji kemampuan Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan pengaruhnya dalam landskap persaingan yang semakin mencabar.
Tidak dapat dinafikan, penyatuan BN dan PN memberikan kelebihan strategik yang besar kerana perpecahan undi yang pernah menjadi faktor penting dalam PRN 2021 dan PRU15 kini berpotensi dikurangkan.
Kerusi yang sebelum ini dimenangi dengan majoriti tipis atau menyaksikan persaingan sengit boleh berubah menjadi kawasan yang lebih kompetitif untuk BN-PN.
Namun, penyokong UMNO tidak semestinya menerima calon PAS atau Bersatu dengan mudah, begitu juga penyokong PN yang selama ini membina sokongan melalui kritikan terhadap UMNO.
Sekiranya berlaku penolakan calon, undi protes atau boikot senyap, kelebihan penyatuan tersebut boleh menjadi kurang berkesan. Bahkan, kegagalan memindahkan sebahagian undi sahaja sudah cukup untuk mengubah keputusan di beberapa kerusi marginal.
Di sebalik kelebihan BN-PN, PH masih mempunyai ruang untuk memberikan saingan yang bermakna.
Kekuatan PH adalah berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi pada pilihan raya terdahulu dan juga keupayaan mempertahankan sokongan pengundi bandar, pinggir bandar dan kawasan campuran.
Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir kekal sebagai antara kawasan yang mempunyai asas sokongan PH yang kukuh.
PH tidak boleh sekadar bergantung kepada sentimen politik nasional atau sokongan pengundi bukan Melayu.
Sebaliknya, pakatan itu perlu membuktikan bahawa kehadirannya dalam Kerajaan Persekutuan membawa manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat Melaka.
Isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, kesesakan lalu lintas, pembangunan setempat dan mutu perkhidmatan kerajaan boleh menjadi ruang untuk PH membina semula sokongan, khususnya dalam kalangan pengundi yang lebih kritikal terhadap prestasi pentadbiran.
Dalam konteks ini, pengundi tidak semestinya membuat keputusan berdasarkan parti semata-mata. Mereka juga menilai calon, rekod perkhidmatan, keupayaan menyelesaikan masalah dan sejauh mana sesuatu tawaran politik benar-benar menyentuh kehidupan mereka.
Sekiranya PH berjaya menggerakkan pengundi terasnya dengan kadar keluar mengundi yang tinggi, selain memperoleh sokongan tambahan daripada pengundi atas pagar, persaingan di beberapa kerusi boleh menjadi jauh lebih sengit daripada unjuran awal.
Sebagai penyandang kerajaan negeri, BN mempunyai kelebihan dari sudut pengalaman pentadbiran dan jaringan perkhidmatan. Namun, kedudukan tersebut turut meletakkan parti itu dalam situasi yang perlu mempertahankan rekod pemerintahannya.
Isu pembangunan Melaka, termasuk projek Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ), pengurusan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir, kesesakan lalu lintas, banjir kilat dan kos sara hidup menjadi antara perkara yang dipersoalkan sepanjang kempen.
Persoalannya bukan sekadar berapa banyak projek yang telah diumumkan, tetapi sejauh mana projek tersebut memberikan manfaat kepada rakyat seperti yang dipersoalkan oleh Adly Zahari terhadap Ab Rauf.
Jika dilihat daripada unjuran awal, persaingan sebenar PRN Melaka berpotensi tertumpu kepada tujuh kerusi iaitu Gadek, Machap Jaya, Paya Rumput, Klebang, Bukit Katil dan Bemban.
Kerusi-kerusi ini berpotensi dipengaruhi oleh perubahan sokongan pengundi, pemindahan undi BN-PN dan keberkesanan kempen PH.
Gadek dan Machap Jaya misalnya, boleh menjadi medan ujian kepada kemampuan BN-PN menyatukan undi Melayu tanpa kehilangan sokongan pengundi campuran.
Paya Rumput pula berpotensi menjadi antara kawasan yang paling menarik untuk diperhatikan, terutama dari sudut pengaruh pengundi muda dan penerimaan calon.
Klebang juga tidak boleh dianggap sebagai kerusi yang mudah dimenangi mana-mana pihak. Faktor calon, isu pembangunan dan sentimen pengundi setempat berpotensi menentukan keputusan.
Bukit Katil pula membawa nilai politik yang lebih besar kepada PH. Sebagai kerusi yang disandang, kemampuan PH mempertahankannya daripada asakan BN-PN akan menjadi indikator penting dalam melemahkan gabungan BNPN.
Sementara itu, Bemban berpotensi menyaksikan persaingan rapat, bergantung kepada sejauh mana gabungan BN-PN berjaya menggerakkan penyokong dan PH mampu mempertahankan sokongan sedia ada.
Sekiranya PH, mampu mengekalkan empat kerusi bandar dan memenangi beberapa kawasan campuran, unjuran majoriti besar BN-PN boleh berubah dan menghasilkan kerajaan baharu dengan semak imbang yang lebih kukuh dan telus.
Kadar keluar mengundi juga menjadi pemboleh ubah penting. Sekiranya pengundi PH lebih bermotivasi untuk keluar mengundi berbanding penyokong BN-PN, keputusan di beberapa kerusi berpotensi menjadi lebih rapat.
PRN Melaka 2026 bukan sekadar pertandingan untuk menentukan siapa yang akan mentadbir negeri, tetapi turut membawa implikasi terhadap landskap politik nasional menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16.
Sekiranya PH berjaya memberikan saingan sengit atau mengekalkan pengaruhnya di luar kubu tradisional, ia akan menunjukkan bahawa penyatuan parti tidak semestinya mengatasi faktor prestasi, calon dan sentimen pengundi.
Kesimpulannya, laluan BN-PN menuju kemenangan di Melaka mungkin kelihatan lebih terbuka, tetapi ia bukan laluan tanpa halangan. PH masih memberi saingan yang signifikan.



