Simposium JPSM 2026 perkukuh tadbir urus dan pengurusan hutan lestari

Oleh Zihan Zari

KUANTAN – Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) terus memperkukuh komitmen terhadap pengurusan hutan secara lestari menerusi penganjuran Simposium JPSM 2026 yang telah berlangsung selama dua hari di Dewan Astana, Hotel Grand Darul Makmur, dekat sini baru-baru ini.

Simposium ini bukan sekadar sebagai medan pertemuan dan pertukaran pandangan, tetapi sebagai platform untuk mengenal pasti pendekatan yang lebih berkesan dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan pengurusan dan keberkesanan pelaksanaan program perhutanan, kata Ketua Pengarah JPSM, Dato’ Mohd Radhi Chu Abdullah pada majlis perasmian penutupan simposium.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan), Dato’ Hj. Roslan Rani ; dan Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Dato’ Dr. Grippin anak Akeng

Mohd Radhi berkata, simposium ini hendaklah dilihat bukan sekadar sebagai medan pertemuan dan pertukaran pandangan, tetapi sebagai platform untuk mengenal pasti pendekatan yang lebih berkesan dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan pengurusan dan keberkesanan pelaksanaan program perhutanan.

Menurut beliau, pembentangan 20 kertas kerja serta ulasan dan pandangan para peserta telah menjadi asas kepada penyediaan Resolusi Simposium, sebagaimana yang telah dibentangkan oleh Ketua Jawatankuasa Resolusi merangkum hasil perkongsian sepanjang simposium dan perlu menjadi rujukan dalam menambah baik pengurusan hutan.

“Pesanan Cendekiawan Islam Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah yang bermaksud: Agama dan tadbir urus itu keseluruhannya adalah akhlak serta integriti. Sesiapa yang mendahuluimu dalam menjaga etika terhadap makhluk dan alam sekitar, maka dia telah mendahuluimu dalam menyempurnakan amanah agamanya.

“Dalam melaksanakan penambahbaikan tersebut, nilai akhlak dan integriti perlu kekal menjadi pegangan kita dengan mengambil iktibar daripada pesanan Ibn Al-Qayyim, pengurusan yang terbaik adalah pengurusan yang meletakkan etika dan integriti di tempat tertinggi.

“Dalam konteks perhutanan, penghayatan pesanan ini menuntut kita melaksanakan amanah dengan jujur, bertanggungjawab dan prihatin terhadap alam sekitar.

“Nilai tersebut perlu menjadi asas kepada setiap keputusan dan tindakan, termasuk ketika kita menyesuaikan pendekatan pengurusan hutan dengan cabaran semasa.

Katanya lagi, berteraskan nilai tersebut, kita perlu memperkukuh keupayaan agar khazanah hutan terus terpelihara dan manfaatnya dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

“Kejayaan masa depan perhutanan memerlukan keberanian untuk memperbaharui cara kita bekerja, berteraskan ilmu dan berpandukan bukti yang nyata,”ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, sehingga 2025, Semenanjung Malaysia merekodkan 5.76 juta hektar kawasan berhutan, dengan 4.85 juta hektar diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Daripada keseluruhan kawasan HSK, sebanyak 4.14 juta hektar telah memperoleh pensijilan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), melibatkan tujuh Jabatan Perhutanan Negeri.

Dalam usaha pemulihan ekosistem hutan, JPSM telah berjaya memulihkan lebih daripada 1,700 hektar kawasan hutan terosot melalui penanaman 1.03 juta pokok sejak tahun 2017.

Selain daripada itu, Program Penghijauan Malaysia menerusi ‘Kempen Penanaman 100 Juta Pokok’ telah merekodkan sebanyak 137.3 juta pokok ditanam di seluruh negara sepanjang tempoh 2021 hingga 2025.

JPSM turut memperkasa pendigitalan melalui sistem Pendigitalan Sumber Operasi Hutan (PSOH) dan pendekatan War Room yang memanfaatkan teknologi geospatial, imej satelit serta sistem emanation digital bagi meningkatkan kecekapan pemantauan, pengesanan pencerobohan dan penguatkuasaan hutan.

Secara keseluruhannya, simposium ini menjadi platform strategik untuk memperkukuh kompetensi warga perhutanan dan perkongsian amalan terbaik.

Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan JPSM dalam memastikan khazanah hutan negara terus dipelihara demi kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan ekonomi yang berdaya saing. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat