Merancang untuk mengubah suasana kediaman, mencari perabot baru atau sekadar mahu mendapatkan inspirasi bagi menjadikan rumah lebih selesa? HOMEDEC KL 2026 menyediakan pelbagai pilihan untuk pemilik rumah meneroka idea dan mendapatkan khidmat pakar dalam bidang hiasan dalaman serta pengubahsuaian kediaman.
Menghimpunkan lebih 350 syarikat dengan lebih 1,100 reruai di lapan dewan, pameran yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu menjadi lokasi untuk pengunjung melihat sendiri pelbagai produk, membandingkan pilihan serta mendapatkan maklumat sebelum membuat keputusan berkaitan kediaman masing-masing.
Berlangsung sehingga Ahad ini, HOMEDEC KL 2026 membawa tema ‘Jom Renovate!’ yang memberi tumpuan kepada keperluan pemilik rumah, sama ada mereka yang baru mendapatkan kediaman atau ingin memberikan wajah baru kepada ruang yang sudah lama didiami.
Menariknya, pameran kali ini bukan sekadar menawarkan pelbagai produk untuk dibeli, malah turut memberi perhatian kepada perkongsian ilmu dan panduan daripada golongan profesional. Ini termasuk cara menyusun ruang, memilih konsep reka bentuk serta merancang pengubahsuaian mengikut keperluan dan kemampuan pemilik rumah.

Presiden C.I.S Network Sdn. Bhd., Datuk Vincent Lim berkata, HOMEDEC KL 2026 memberi penekanan lebih besar kepada pendidikan pemilikan rumah dan akses kepada kepakaran profesional supaya rakyat Malaysia dapat membuat keputusan lebih tepat ketika melengkapkan atau mengubah suai kediaman.
Antara tarikan yang boleh dikunjungi ialah HOMEDEC Showhomes menerusi INTERVAL dan OASIS yang menampilkan idea reka bentuk serta penggunaan ruang kediaman dalam suasana berbeza.
INTERVAL hasil sentuhan firma reka bentuk dalaman tempatan Matthew Lim Associates (MLA), diketuai pengetuanya, Matthew Lim, mengetengahkan konsep ‘A Home, Experienced in Layers’.
Konsep itu menggabungkan elemen ruang, cahaya, bahan dan bunyi bagi memberikan gambaran bagaimana setiap elemen boleh mempengaruhi suasana sesebuah kediaman. Ia juga memberi peluang kepada pengunjung melihat reka bentuk rumah daripada perspektif yang lebih luas, bukan hanya tertumpu kepada pemilihan perabot dan warna dinding.
Bagi mereka yang mempunyai kawasan laman atau ruang terbuka di rumah, OASIS pula mengetengahkan idea menjadikan kawasan luar sebagai sebahagian daripada ruang kediaman yang boleh digunakan untuk berehat dan melakukan pelbagai aktiviti harian.
Selain mendapatkan inspirasi melalui rumah contoh, pengunjung juga boleh singgah ke Architects’ Pavilion untuk berinteraksi secara langsung dengan arkitek bertauliah. Menerusi sesi pertemuan itu, pemilik rumah boleh mendapatkan pandangan mengenai cara menggunakan ruang dengan lebih baik, merancang keperluan keluarga pada masa depan dan memilih reka bentuk yang sesuai.
Bagi mereka yang berminat dengan susun atur kediaman berdasarkan prinsip feng shui, sesi perkongsian bersama Master Suyen turut disediakan untuk memberikan pemahaman mengenai pengaruh prinsip berkenaan terhadap kedudukan ruang dan suasana rumah.
Dalam masa sama, perkembangan teknologi kediaman turut mendapat perhatian menerusi Samsung Smart Home Experience Centre yang membolehkan pengunjung melihat sendiri penggunaan teknologi rumah pintar dan peranti berhubung dalam kehidupan seharian.
Daripada kemudahan mengawal peralatan rumah kepada penggunaan teknologi yang memudahkan rutin harian, pengunjung berpeluang mengenali pilihan yang boleh dipertimbangkan untuk kediaman masing-masing.
Tidak ketinggalan, mereka yang gemar memasak boleh mengunjungi ruang Marketplace menerusi inisiatif Jom Jamuan. Ruang ini mengetengahkan pelbagai gajet dapur terkini dan popular, selain perkongsian idea serta teknik memasak yang boleh menjadikan penyediaan makanan di rumah lebih mudah dan menyeronokkan.
Bagi pengunjung yang sudah merancang untuk membeli kelengkapan rumah atau mendapatkan barangan renovasi, HOMEDEC Savers menawarkan diskaun sehingga 80 peratus serta tawaran eksklusif daripada syarikat pempamer yang mengambil bahagian.

Promosi berkenaan merangkumi pelbagai kategori termasuk perabot, barangan keperluan pengubahsuaian dan produk penambahbaikan kediaman. Ini memberikan peluang kepada pengunjung untuk melihat pilihan yang tersedia sebelum menentukan pembelian mengikut keperluan masing-masing.
Lebih menarik, kempen SHOP BIG WIN BIG turut menawarkan hadiah bernilai lebih RM600,000 kepada pengunjung yang membuat pembelian minimum RM200 dalam satu resit.
Antara hadiah yang ditawarkan termasuk perjalanan ke Korea, pelayaran Disney Cruise dan barangan elektrik Samsung. Ganjaran segera secara berperingkat turut disediakan kepada pembeli yang memenuhi syarat, tertakluk kepada konsep siapa cepat, dia dapat dan selagi stok masih ada.
Dengan pelbagai tarikan yang disediakan, HOMEDEC KL 2026 bukan sahaja memberi peluang kepada pemilik rumah mendapatkan produk pada harga promosi, malah menjadi ruang untuk mengumpul idea sebelum memulakan projek pengubahsuaian.
Sejak diperkenalkan pada 2003, HOMEDEC dilaporkan telah membantu lebih empat juta pemilik rumah dalam urusan memiliki, menyewa, mereka bentuk dan mengubah suai kediaman, dengan penyertaan kira-kira 20,000 pempamer sepanjang tempoh berkenaan.
Pengunjung yang ingin menghadiri pameran itu digalakkan membuat prapendaftaran menerusi laman web www.homedec.com.my bagi mengurangkan masa menunggu di kaunter serta berpeluang menyertai tawaran hadiah yang disediakan.
Dengan lebih 350 syarikat berkumpul di satu lokasi, HOMEDEC KL 2026 memberi peluang kepada pemilik rumah untuk melihat pelbagai pilihan sebelum menentukan perubahan yang ingin dilakukan, sama ada sekadar menukar perabot, memperbaharui dapur atau merancang pengubahsuaian kediaman secara lebih menyeluruh.



