KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim sedang berusaha mendapatkan tarikh dan waktu sesuai untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dalam masa terdekat.
Ismail berkata, ia bagi mempersembahkan kepada baginda rancangan kerajaan negeri untuk mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seterusnya membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2027, yang dirancangkan pada bulan depan.
“Setakat ini belum (mendapat perkenan Tuanku Muhriz), saya sedang berusaha (untuk menghadap baginda),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Perpatih Fest 2026, di Perkarangan Muzium Negeri, menurut BH di Negeri Sembilan pada Jumaat.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Dr Awaluddin Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Aziz Mohd Gorip.
Ismail berkata, setakat ini kerajaan negeri kekal dengan rancangan asal untuk mengadakan Persidangan DUN pada 26 November disusuli dengan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 pada 27 November depan.
“Sebagaimana saya sebutkan sebelum ini, tarikh persidangan DUN itu kekal seperti dirancangkan selama lima hari bermula 26 November perasmian persidangan dan 27 November bagi pembentangan belanjawan,” katanya.
Mengulas mengenai pandangan pelbagai pihak bahawa DUN Negeri Sembilan terdedah kepada kemungkinan terbubar sendiri pada Februari 2027 sekiranya persidangan tidak dapat dilakukan seperti mana dirancangkan, beliau berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu berasaskan Perlembagaan negeri.
Terdahulu, pelbagai pihak memberikan pandangan bahawa DUN Negeri Sembilan mungkin terdedah kepada pembubaran dengan sendirinya pada Februari 2027 sekiranya tiada sidang diadakan sehingga tempoh berkenaan seperti mana yang ditetapkan dalam perlembagaan negeri.
Situasi itu menuntut kerajaan negeri pimpinan Ismail menyelesaikan isu proklamasi membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan secepat mungkin bagi membolehkan Sidang DUN dapat diadakan dan seterusnya pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 dapat dilakukan.
Difahamkan, sehingga kini kerajaan negeri belum memperoleh perkenan daripada Tuanku Muhriz untuk mengadakan Sidang DUN selepas tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersetuju bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz bertarikh 19 April 2026 adalah sah dan berkuat kuasa.



