KUALA LUMPUR – Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) didakwa sebagai senjata untuk membelenggu dan memasung pembangkang daripada mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kroninya dalam isu paling sensitif yang paling beliau takuti, misalnya mafia korporat dan Yusuf Rawther.
Ahli Parlimen Machang Datuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, beliau masih ingat mesyuarat Biro Politik Bersatu yang membincangkan sama ada Bersatu dan PN patut menandatangani CSA yang dicadangkan Kerajaan Madani pimpinan Anwar.
“Hujah paling kuat ketika itu ialah menandatangani CSA mendatangkan mudarat lebih besar daripada manfaat kepada perjuangan Bersatu dan PN.
“Tan Sri Muhyiddin sendiri menolak keras dalam mesyuarat itu. Beliau melihat syarat CSA yang berat sebelah ini (the devil is in the details) benar-benar mengekang kebebasan pembangkang menyemak dan mengimbang kerajaan.
“Ringkasnya, pembangkang yang terikat dengan CSA bersyarat songsang ini terpaksa menjadi pak turut dan balaci PH dan DAP, yang menguasai dasar kerajaan. Itulah pembangkang mandul,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Justeru Wan Ahmad Fayhsal menyatakan, keputusan jemaah PN jelas iaitu kami tidak menerima CSA ini dan apabila kerajaan Anwar mencadangkan draf baharu, kami tolak juga.
Jelas beliau, rakyat perlu sedar bahawa kerajaan Madani hakikatnya tidak memerlukan CSA. Mereka sudah memiliki majoriti 2/3.
“Perhatikan dengan teliti bahawa semua yang menandatangani CSA boleh memberi alasan “demi rakyat” itu dan ini, tetapi hakikatnya mereka tidak lagi berani menegur Anwar Ibrahim dan kroni DAP-nya dalam hal sensitif yang mengundang kemarahan beliau.
“Tidak percaya? Kaji semula semua isu dan isi perbahasan mereka. Nampak padu, tetapi longlai dan mangli. Mengapa? Kerana dengan CSA, Anwar Ibrahim berjaya memperbudakkan mereka.
“CSA ialah alat mencipta “controlled opposition”: pembangkang tanpa taring, dicucuk hidung seperti lembu bodoh. Mesejnya mudah:
“Kamu boleh kritik Fadlina, Loke, Guan Eng, tetapi apa-apa kes dan skandal melibatkan saya, jangan sentuh.”
“Sebab itu saya sudah lama menghidu langkah sumbang, perjanjian syaitan yang mahu dimeterai Bersatu ini. Kami memulakan teguran dalaman, namun gagal. The rest is history.
“Setiap ahli Parlimen yang menandatangani CSA dengan Anwar Ibrahim memikul beban tertentu yang memaksa mereka kini melutut atas nama rakyat.
“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka. Semoga rakyat mampu menilai siapa pejuang sebenar dan siapa musang berbulu ayam,” katanya.



