KUALA LUMPUR – 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan membatalkan pelantikan mereka bulan lalu.
Mereka ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Datuk Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Kesemua mereka menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan sebagai responden.
Notis usul itu difailkan pada 14 Oktober lalu menerusi firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.
Menerusi notis usul berkenaan, kesemua Exco itu memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan tiga persoalan undang-undang berhubung kesan dan tafsiran peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang berbangkit daripada saman pemula yang difailkan mereka di Mahkamah Tinggi Seremban.
Pada 5 Oktober lalu, mereka memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mencabar kesahihan warta pembatalan pelantikan mereka sebagai Exco Kerajaan Negeri Sembilan.
Menerusi saman pemula tersebut, kesemua 10 individu berkenaan membangkitkan beberapa persoalan berkaitan perlembagaan negeri itu.
Antara persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada Perkara 38(5) apabila dibaca bersama Perkara 38(2), 38(3), 38(4), 40(1), 40(1A) dan 40(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan membenarkan Yang Dipertuan Besar membatalkan pelantikan seseorang Exco tanpa nasihat Menteri Besar.
Sekiranya jawapan kepada persoalan itu adalah negatif, mereka memohon penentuan sama ada pembatalan pelantikan Exco seperti diwartakan pada 24 September lalu dibuat mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan sama ada pembatalan itu terbatal, tidak sah serta tidak mempunyai kuat kuasa.
Satu lagi persoalan ialah sama ada Perkara 38(5), apabila dibaca bersama Perkara 28(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, membawa maksud bahawa istilah “Raja Pemerintah” merujuk kepada Yang Dipertuan Besar yang mempunyai kuasa untuk membatalkan pelantikan seseorang Exco atas perkenan baginda sendiri tanpa nasihat Menteri Besar.
Sekiranya jawapan kepada persoalan itu adalah negatif, sama ada pemecatan mereka bertentangan dengan perlembagaan negeri.
Pada 20 September lalu, istana Negeri Sembilan mengumumkan bahawa Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan kesemua Exco berkenaan berkuat kuasa serta-merta, lapor Bernama di Putrajaya pada Rabu.
Pembatalan pelantikan mereka diwartakan pada 24 September lalu dengan pemecatan itu berkuat kuasa mulai 20 September.
Menurut warta berkenaan, pelantikan mereka dibatalkan dan diisytiharkan tidak sah kerana melanggar sumpah taat setia kepada Tuanku Muhriz apabila mereka bersetuju untuk melucutkan baginda daripada jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Pengurusan kes dijadualkan berlangsung di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini.



