KUALA LUMPUR – Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) menerima kunjungan delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke ibu pejabat parti itu.
BERSAMA dalam kenyataan memaklumkan, bagi sebuah parti baharu seperti BERSAMA, pertemuan sebegini membuka ruang untuk memperkenalkan asas perjuangan, hala tuju dan keutamaan parti, di samping membina hubungan dengan masyarakat antarabangsa.
“Kunjungan ini berlangsung dalam suasana mesra dan terbuka, dengan kedua-dua pihak berpeluang bertukar pandangan serta mengeratkan hubungan melalui pertemuan secara bersemuka.
“Secara umumnya, pertemuan antara perwakilan diplomatik dengan parti politik baharu memberi peluang untuk memahami perkembangan landskap politik negara serta mengenali kepimpinan, gagasan dan pendekatan yang dibawa.
“Hubungan sebegini turut membuka ruang untuk mendengar pelbagai perspektif tentang isu semasa dan aspirasi rakyat,” katanya.
BERSAMA melihat dialog yang terbuka sebagai asas penting untuk membina persefahaman.
“Kesediaan untuk mendengar, berkongsi pandangan dan memahami perspektif berbeza membolehkan hubungan yang lebih bermakna dibentuk atas dasar saling menghormati.
“BERSAMA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada delegasi EU atas kesudian meluangkan masa untuk berkunjung.
“Semoga pertemuan ini menjadi permulaan kepada hubungan yang berterusan serta lebih banyak pertukaran pandangan yang membina pada masa hadapan,” katanya.



