KUALA LUMPUR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kini menjalankan siasatan pembabitan orang beragama Islam dalam aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) membabitkan kerja pembersihan di sebuah kuil di Jalan Dato’ Keramat, Geore Town, di Pulau Pinang.
Dalam satu kenyataan hari ini, JHEAIPP berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan yang tular di media sosial pada 8 Oktober lalu, membabitkan seramai 20 kakitangan hotel.
Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak pengurusan hotel pada 14 Oktober lalu bagi mendapatkan penjelasan berhubung pelaksanaan program, bentuk pembabitan pekerja Islam, arahan kerja serta aspek sensitiviti agama.
“Pihak hotel memberikan kerjasama yang baik sepanjang sesi berkenaan.
“Sebagai tindakan susulan, JHEAIPP akan memberikan bimbingan dan penerangan khusus kepada pekerja Islam yang terbabit mengenai pemeliharaan akidah, batas pembabitan di rumah ibadat bukan Islam serta pematuhan hukum syarak.
“JHEAIPP turut merancang mengadakan program advokasi kepada pihak pengurusan dan pekerja hotel pada 20 Oktober ini bagi meningkatkan kefahaman serta mencegah kejadian seumpama itu daripada berulang,” katanya.
JHEAIPP berkata, berdasarkan pandangan hukum Mufti Pulau Pinang pada 12 Oktober lalu, pembabitan orang Islam dalam aktiviti pembersihan yang secara langsung menyelenggara ruang pemujaan dan kemudahan khusus bagi ibadat agama lain adalah haram.
Hukum itu termasuk kerja membersihkan patung sembahan, altar dan peralatan ritual.
Pandangan itu selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah, ayat 2 yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu saling membantu dalam kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu saling membantu dalam dosa dan pencerobohan.”
JHEAIPP menegaskan, sokongannya terhadap pelaksanaan aktiviti CSR yang memberi manfaat kepada masyarakat, namun penganjur perlu memastikan aktiviti berkenaan menghormati sensitiviti agama dan mematuhi batasan hukum syarak.
“Sebarang keraguan juga wajar dirujuk kepada pihak berautoriti agama. JHEAIPP akan meneruskan pendekatan pendidikan, advokasi, pemantauan dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menjatuhkan hukum terhadap individu tanpa penelitian pihak berautoriti, demi memelihara kesucian agama Islam dan keharmonian masyarakat berbilang agama,” katanya.


