KUALA LUMPUR – Satu undang-undang baharu yang diumumkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) iaitu hanya membenarkan penjualan tiket bas ekspres menerusi terminal berlesen bermula 1 November ini disambut baik oleh pelbagai pihak dan ia akan memperkukuh pengurusan terminal bas ekspres melalui operasi penjualan tiket yang lebih telus dan teratur.
Pengerusi Terminat Management and Services Sdn Bhd (TMAS) Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pemberian hak penjualan tiket kepada terminal berlesen bukan sekadar keistimewaan komersial sebaliknya meletakkan tanggungjawab pihak terminal untuk memastikan pengurusan penumpang, jadual perjalanan dan pelepasan bas dilaksanakan secara lebih cekap dan sistematik.
TMAS adalah pengendali untuk Terminal Bas Bersepadu Selatan (TBS).
Beliau berkata syarikat itu menyatakan sokongan penuh terhadap langkah baharu itu yang dikeluarkan APAD pada 16 Oktober lepas.
“Melalui dasar ini, pihak terminal mempunyai keupayaan yang lebih berkesan untuk memantau harga tiket dengan lebih jelas, memastikan pematuhan terhadap kadar tambang ditetapkan serta mengawal aktiviti penjualan tiket yang tidak mematuhi peraturan dan piawaian pihak kerajaan.
“Inisiatif ini juga dapat meningkatkan ketelusan transaksi kepada pengguna dan menawarkan caj komersial yang lebih bersesuaian kepada pengendali bas ekspres,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mohamed Nazri berkata TMAS percaya pelaksanaan dasar itu melalui Sistem Tiket Bersepadu (CTS) akan membanteras kegiatan penjualan tiket yang tidak sah dan membuka peluang kerjasama komersial lebih kompetitif kepada syarikat pengendali bas ekspres menerusi integrasi secara langsung dengan sistem terminal.
Beliau berkata TMAS akan terus memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada Kementerian Pengangkutan, APAD dan semua pengendali bas ekspres bagi memperkukuh ekosistem pengangkutan awam darat yang lebih profesional, berdaya saing selain berpaksikan kepentingan pengguna, industri serta negara.



