KUALA LUMPUR – Armada Bersatu mendakwa pembubaran Perikatan Nasional (PN) angkara kegagalan mutlak Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar and Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam menguruskan tatacara mesyuarat serta keangkuhan mengabaikan beberapa Fasal dalam Perlembagaan Perikatan Nasional telah menghancurkan sebuah wadah politik yang dibina atas air mata dan keringat akar umbi.
Ketua Penerangan Armada Bersatu Harris Idaham Rashid menyelar, sifat tadbir urus yang meletakkan keputusan penting parti seolah-olah hak milik peribadi tanpa konsensus menyeluruh parti komponen akhirnya memakan diri.
“Armada Bersatu mengambil maklum berhubung keputusan rasmi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bertarikh 20 Oktober 2026 yang membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.
“Tamparan hebat ini adalah kemelut yang sepatutnya boleh dielakkan sekiranya pengurusan tertinggi gabungan menghormati asas pentadbiran pertubuhan.
“Selaku Ketua Penerangan Armada, saya menegaskan kegagalan mutlak Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar and Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam menguruskan tatacara mesyuarat serta keangkuhan mengabaikan beberapa Fasal dalam Perlembagaan Perikatan Nasional telah menghancurkan sebuah wadah politik yang dibina atas air mata dan keringat akar umbi.
“Fakta sejarah membuktikan bahawaTan Sri Muhyiddin Yassin telah memimpin dan memelihara kedudukan PN dengan begitu baik, teratur, dan patuh undang-undang sejak dari hari pertama penubuhannya.
“Malangnya, apabila tampuk pentadbiran gabungan ini bertukar tangan kepada Dr Samsuri pada tahun ini, tidak sampai beberapa bulan di bawah pengurusan, seluruh institusi PN terus hancur dan punah sama sekali. Ini adalah bukti nyata ketidakcekapan yang amat memalukan,” bidas Harris dalam kenyataan media pada Selasa.
Pun begitu katanya, bergerak ke hadapan, Armada mendesak agar satu pelan penstrukturan semula haluan politik segera digerakkan demi memelihara maruah, hak, serta suara tulen seluruh ahli Bersatu di peringkat akar umbi.
“Kami bersedia untuk bangkit membina semula kekuatan tanpa perlu tunduk kepada mana-mana pihak yang meletakkan kepentingan peribadi melebihi agenda perjuangan demi rakyat,” ikrar beliau.



