KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian Kerajaan Madani tegas, tidak ada kompromi terhadap jenayah korporat.
Menurut Anwar, rekod terkini jelas menunjukkan peningkatan tindakan penguatkuasaan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), baik jenayah mahupun sivil.
Malah katanya, kedudukan, kekayaan atau pengaruh seseorang tidak sama sekali dibenarkan mereka terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang.
Maka tegas Anwar, adalah tidak berasas untuk memberi gambaran bahawa penguatkuasaan tidak berjalan.
Beliau memberitahu, pasaran modal mesti beroperasi dengan teratur dan pelabur mesti dilindungi.
“SC telah memulakan 239 pertuduhan jenayah terhadap 50 individu atau entiti bagi tempoh 2022 hingga September 2026, ketimbang 76 pertuduhan terhadap 33 individu/entiti bagi tempoh sama 2017 hingga 2021. Jumlah pertuduhan jenayah meningkat lebih tiga kali ganda.
“Tindakan sivil turut meningkat daripada 23 kes bagi tempoh 2017 hingga 2021 kepada 37 tindakan bagi tempoh 2022 hingga September 2026. Jika dibandingkan, mulai tahun 2022, SC telah memperluaskan penguatkuasaan atas skop penipuan sekuriti, penyata palsu serta salah laku korporat oleh pengarah dan pegawai
syarikat.
“Umpamanya, skandal jenayah korporat Serba Dinamik Berhad melibatkan kerugian besar kepada pemegang sahamnya. Pada awal tahun 2020, nilai pasaran Serba Dinamik mencecah RM6 bilion.
“Akhirnya pada hujung Disember 2022, nilai pasaran jatuh lebih 99 peratus kepada sekitar RM50 juta. Pada Disember 2021, SC telah membawa pertuduhan terhadap Datuk Karim dan Serba Dinamik berhubung penyata palsu yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia.
“Bagaimanapun, pentadbiran terdahulu telah mengarahkan SC untuk menarik balik semua pertuduhan pada Mei 2022, selepas kompaun berjumlah RM16 juta dibayar. Mahkamah kemudiannya melepas dan membebaskan semua tertuduh.
“Di bawah pentadbiran MADANI, SC meneruskan siasatan terhadap urus niaga lain yang melibatkan Datuk Karim. Tindakan ini membawa kepada pertuduhan terhadap beliau dan seorang lagi individu pada awal 2026 berhubung urus niaga serta penyata palsu melibatkan Sarawak Consolidated Industries Berhad.
“Terkini, SC telah memperoleh waran tangkap terhadap Datuk Karim. INTERPOL turut mengeluarkan Notis Merah bagi membantu mengesan dan menahan beliau,” jelas Anwar pada waktu pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Perdana Menteri menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (Port Dickson-PH) yang bertanya perkembangan terkini mengenai dakwaan kegiatan “mafia korporat” yang melibatkan perlanggaran hukum dan apakah tindakan yang diambil selama ini?
Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, bagi kes di mana agensi penguat kuasa telah menyalahgunakan kuasa menyebabkan tekanan terhadap ahli perniagaan untuk menjual saham syarikat dengan harga rendah bagi mencapai matlamat untuk menguasai syarikat, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) PDRM telah menjalankan Op Viking susulan maklumat dan risikan yang bermula sejak 2018 berkaitan aktiviti pengubahan wang haram.
“PDRM seterusnya telah mengambil tindakan seperti penahanan beberapa individu serta membekukan dan menyita pelbagai aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti yang sedang disiasat.
“Setakat 25 September 2026, sebanyak (70) orang individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan. PDRM turut melakukan tindakan pembekuan dan penyitaan yang melibatkan 8 bidang hartanah, 11 buah kenderaan, 417 buah akaun-akaun Central Depository System (CDS), 70 buah akaun-akaun dagangan saham berjumlah kira-kira RM 323.59 juta serta 404 buah akaun-akaun bank berjumlah kira-kira RM 85.62 juta.
“Keseluruhan dana berbilion ringgit yang dirampas oleh agensi-agensi penguatkuasaan daripada hasil haram, rasuah dan penyelewengan menerusi keputusan badan kehakiman akan dipulangkan semula kepada rakyat, terutamanya bagi memantapkan sektor pendidikan dan kesihatan awam negara.
“Berdasarkan statistik kejayaan AMLA, PDRM pada tahun 2026 -pembekuan – RM4.3 bilion dan 2.1 juta unit saham; penyitaan – RM1 bilion dan 2.1 juta unit saham; lucuthak – RM48 juta dan kompaun – RM1.1 bilion. Jumlah ini tidak termasuk lebih daripada RM3 bilion yang masih dalam proses perbicaraan mahkamah untuk dilucuthak kepada kerajaan,” jelas Perdana Menteri.
Dalam pada itu ujar Anwar, memandangkan kompleksiti jenayah korporat yang merentasi pelbagai cadang bidang kuasa agensi pengutkuasa, maka kerajaan akan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang akan dipengerusikan oleh Peguam Negara dalam masa terdekat.
“Jawatankuasa ini yang akan dianggotai oleh PDRM, SC, BNM dan lain-lain agensi berkaitan akan diberikan tempoh 3 bulan untuk menjalankan siasatan dan menyediakan laporan penuh terkait jenayah korporat,” katanya.



