Tindakan kerajaan batal PN menandakan kekuasaan sedang menghampiri penghujung- Takiyuddin akan cabar di mahkamah

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan mencabar kesahihan perintah pembatalan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan memohon supaya pelaksanaan serta segala kesannya ditangguhkan sementara menunggu penentuan mahkamah.

Selain itu, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa Peguam Negara menjelaskan tindakan ini berhubung pendirian jabatannya di mahkamah semasa pendengaran permohonan penagguhan PN pada 22 Oktober 2026.

“⁠Sejarah telah berulang kali memperlihatkan bahawa apabila sesebuah kerajaan menggunakan kuasa untuk menyekat lawan politik kerana bimbang kehilangan sokongan rakyat, tindakan itu menandakan kekuasaannya sedang menghampiri penghujung.

“Pembatalan pendaftaran PN menyerlahkan sebuah kerajaan yang semakin terdesak dan ketakutan terhadap sokongan rakyat yang kian meningkat kepada PN.

“Kerajaan jelas menyalahgunakan kuasa untuk membatalkan pendaftaran namun tidak mampu memadamkan kehendak rakyat untuk perubahan politik dan pemerintah,” tempelak beliau.

Juga katanya, PN turut akan mengambil tindakan atas semua pihak yang menghina dan belakangkan proses mahkamah.

“Pada hari ini, 20 Oktober 2026, RoS telah membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN), hanya dua hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadualkan mendengar permohonan PN untuk menangguhkan tindakan RoS mengeluarkan notis ketidakpatuhan dan menggantung semua aktiviti PN.

“Keputusan untuk bertindak sebelum pendengaran tersebut menimbulkan persoalan serius tentang tujuan penggunaan kuasa ini dan penghormatan kerajaan terhadap proses kehakiman.

“Pada 6 Oktober 2026, RoS menyatakan bahawa isu-isu yang dibangkitkan PN akan dijawab di Mahkamah. Pada 13 Oktober 2026, mahkamah memberikan kebenaran semakan kehakiman dan menetapkan pendengaran penangguhan pada 22 Oktober 2026 setelah Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan keperluan pendengaran secara inter partes.

“Permintaan bertulis PN pada 14 Oktober 2026 supaya tiada tindakan lanjut diambil sementara menunggu pendengaran tidak dijawab, manakala hujahan Peguam Negara pada 19 Oktober 2026 menyatakan bahawa proses pembatalan “masih berjalan”, tanpa memaklumkan bahawa pembatalan akan dibuat keesokan harinya.

“RoS sendiri menyatakan bahawa isu ini akan dijawab di Mahkamah, manakala Jabatan Peguam Negara menuntut pendengaran secara dua pihak. Namun, sebelum pendengaran berlangsung, pendaftaran PN dibatalkan sehingga keadaan yang menjadi pokok pertikaian berubah secara mendasar.

“Kerajaan yang menghormati kedaulatan undang-undang sepatutnya memberikan ruang kepada Mahkamah untuk memutuskan permohonan tersebut dan menjelaskan mengapa tempoh dua hari pun tidak dapat ditunggu,” jelas Ahli Parlimen Kota Bharu itu dalam kenyataan media pada Selasa.

Justeru kata Takiyuddin, PN berpandangan bahawa masa dan urutan tindakan ini menimbulkan persoalan serius tentang unsur mala fide serta tujuan politiknya.

“Notis RoS dikeluarkan pada 22 September 2026, ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka diumumkan, disusuli penggantungan keesokan harinya dan pembatalan hanya sebelas hari sebelum penamaan calon.

“Alasan berhubung mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai 2026 juga bercanggah dengan pendirian bertulis RoS pada tarikh tersebut bahawa Jabatannya “tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan”, sedangkan jawapan terperinci PN ditolak sebagai “tidak memuaskan” tanpa alasan substantif.

“Pembatalan ini membawa kesan terhadap jutaan rakyat yang memberikan mandat kepada PN dan parti-parti anggotanya, selain menjejaskan kegiatan politik, harta parti dan kedudukan pemegang jawatan.

“Kuasa pentadbiran yang mempunyai implikasi sebesar ini terhadap pilihan rakyat dan proses demokrasi tidak seharusnya digunakan tanpa alasan yang jelas serta penghormatan terhadap penelitian kehakiman yang sedang berlangsung,” tegas Takiyuddin yang juga pengamal undang-undang.

Hal demikian katanya, PN mengecam tindakan ini sebagai usaha mendahului pertimbangan mahkamah dan melemahkan lawan politik menjelang pilihan raya Melaka.

“Sebuah kerajaan yang yakin terhadap kesahihan tindakannya sepatutnya bersedia mempertahankan keputusan tersebut di hadapan hakim, bukannya mengubah kedudukan pihak-pihak ketika permohonan penangguhan bakal didengar.

“Parti-parti anggota PN kekal bersatu untuk mempertahankan hak dan mandat rakyat melalui saluran undang-undang serta proses demokrasi.

“Seluruh ahli dan penyokong diseru supaya kekal tenang, mematuhi undang-undang dan memberikan ruang kepada proses mahkamah, sementara rakyat menilai tindakan kerajaan yang menggunakan kuasa pentadbiran terhadap lawan politiknya menjelang pilihan raya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat