KUALA LUMPUR – Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kini, bahtera perjuangan tidak boleh lagi berlayar.
Dalam hantaran di Facebooknya, Ketua Bersatu Perak itu menulis kiasan menggambarkan situasi yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Parti PN selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan parti itu tidak dapat menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis sebelum ini.
Tanpa menamakan sesiapa, Faizal memberi gambaran watak-watak dalam sebuah kapal.
“Berapa hari tuan nakhoda mengemudi bahtera perjuangan? Di setiap masa, mualim yang berjasa pasti dipersalahkan atas kelemahan nakhoda.
“Sedangkan jurumudi utama sentiasa sesat mencari rumah yang mana satu nak balik.
“Kini, bahtera perjuangan tidak boleh lagi berlayar. Pasti, mualim juga dipersalahkan.
“Mana mungkin bahtera yang mualim bina dengan tulang empat kerat, melalui kudrat sendiri mahu dirobohkan begitu sahaja? katanya.
Meskipun demikian kata Faizal, tuan nakhoda dan seorang kelasi biasa namun gila nak jadi nakhoda, tetap dipercayai.
“Tuan-tuan pun saling menipu sesama sendiri atas nama ‘Perpaduan Ummah’.
“Anak buah masing-masingpun percaya bulat-bulat. Kasihan.
“Ada kawan-kawan yang baru naik bahtera, aku berpesan. Jangan le kome cepat benor percaya kelasi biasa yang gila nak jadi nakhoda,” bidas beliau.
RoS dalam kenyataan pada Selasa berkata, keputusan itu dibuat Pendaftar Pertubuhan di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832].
Menurut jabatan itu, PN sebelum ini diberikan peluang untuk mengemukakan penjelasan dan representasi menerusi notis bertarikh 22 September lalu yang dikeluarkan di bawah subseksyen 13(2) akta sama.
Susulan notis berkenaan, RoS menerima maklum balas daripada PN pada 12 Oktober.
Bagaimanapun, selepas meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan, Pendaftar Pertubuhan mendapati alasan diberikan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran yang dinyatakan dalam notis berkenaan.
RoS berkata, penjelasan tersebut juga tidak memberikan justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftaran parti itu.
“Sehubungan itu, Pendaftar Pertubuhan telah membuat keputusan untuk membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, RoS menegaskan, setiap pertubuhan berdaftar bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta Pertubuhan 1966 serta perlembagaan masing-masing.
Jabatan itu turut menegaskan fungsi kawal selia dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara tegas, adil serta berlandaskan undang-undang bagi memastikan tadbir urus pertubuhan yang teratur, telus dan berintegriti.



