KUALA LUMPUR – Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) kekal teguh dalam komitmennya untuk menyerahkan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang selamat, berkeupayaan dan bersedia untuk misi, yang akan memperkukuh kesiagaan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta berkhidmat untuk negara bagi beberapa dekad akan datang.
LUNAS dalam kenyataan pada Isnin menegaskan, kekal telus dalam menyampaikan perkembangan program dan telah menggunakan mekanisme
kontrak yang tersedia untuk menangani keadaan di luar kawalannya.
Jelas LUNAS, pihaknya menerima sepenuhnya akauntabiliti terhadap obligasi yang diamanahkan kepadanya di bawah kontrak.
“LUNAS mengambil maklum Laporan Ketua Audit Negara dan menghormati sepenuhnya peranan institusi awam dalam memastikan akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus yang baik.
“Sebagai kontraktor bagi program Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS), LUNAS kekal komited untuk memenuhi obligasi kontraknya dan menyerahkan aset strategik negara ini kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“LUNAS ingin menjelaskan bahawa garis masa penyerahan LCS1 yang disemak semula hendaklah dilihat dalam konteks keseluruhan kerumitan teknikal, kawal selia dan kontrak program tersebut.
“Perubahan garis masa tersebut tidak wajar dilihat sebagai alasan yang diberikan oleh LUNAS semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan pelbagai faktor yang saling berkaitan, termasuk perkara di luar skop dan kawalan kontrak LUNAS,” katanya.
Pada masa yang sama, LUNAS MENakauntabiliti mestilah dinilai secara adil dan objektif dengan mengambil kira tanggungjawab masing-masing bagi semua pihak yang berkontrak serta proses kontrak yang telah ditetapkan dan dipersetujui oleh pihak-pihak berkenaan.
“Sebagai sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), LUNAS kekal komited untuk memastikan standard tadbir urus, integriti dan akauntabiliti tertinggi, di samping melindungi hak kontraknya melalui saluran yang sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, LUNAS mengambil maklum cadangan terkini berhubung pengenaan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (Liquidated Ascertained Damages, LAD).
Walau bagaimanapun katanya, sebarang penentuan berhubung tanggungjawab kontrak hendaklah dinilai melalui mekanisme kontrak dan perundangan yang telah ditetapkan.
“Pengauditan oleh Ketua Audit Negara dilaksanakan berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan TLDM. LUNAS menghormati dapatan audit serta saranan yang terkandung dalam laporan tersebut.
“Namun, laporan berkenaan tidak seharusnya dianggap sebagai keputusan muktamad berhubung liabiliti kontrak.
“Sebagai salah satu pihak dalam kontrak, LUNAS berhak mengemukakan pendirian serta fakta sokongan melalui proses kontrak yang ditetapkan sebelum sebarang kesimpulan mengenai tanggungjawab atau liabiliti dibuat,” jelasnya.
Menurut LUNAS punca utama kelewatan LCS disebabkan, kesan pembatalan lesen eksport terhadap LCS1.
“Salah satu perkembangan utama yang mempengaruhi garis masa penyerahan LCS1 ialah pembatalan lesen eksport bagi sistem Peluru Berpandu Permukaan ke Permukaan (Surface-to-Surface Missile, SSM) oleh pihak berkuasa Norway.
“Susulan keputusan tersebut, LUNAS tidak lagi dibenarkan di bawah peraturan kawalan eksport antarabangsa yang berkenaan, termasuk Peraturan Perdagangan Senjata Antarabangsa (International Traffic in Arms Regulations, ITAR), untuk menyerahkan kapal dengan sistem pelancar peluru berpandu dari Norway yang telah dipasang di atas kapal.
“Bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan kawal selia ini, sistem pelancar tersebut mesti dikeluarkan dan dikembalikan ke Norway kerana rantaian jagaan (chain of custody) yang diwajibkan tidak boleh terputus.
“Keperluan ini timbul susulan perkembangan kawal selia yang berada di luar skop tanggungjawab kontrak asal LUNAS. LUNAS telah memaklumkan secara rasmi kepada MINDEF tentang implikasi teknikal, kos dan jadual yang timbul daripada perkara ini.
“Kerja pematuhan, pemunggahan dan pembaikan tambahan telah memerlukan pelarasan pada garis masa penyerahan kapal. Sasaran Penyerahan Fizikal (Physical Handover, PHO) yang disemak semula pada April 2027 adalah perlu bagi memastikan LCS1 diserahkan dengan selamat, bertanggungjawab dan mematuhi sepenuhnya keperluan kawal selia yang berkenaan. Harap maklum bahawa tarikh ini akan berganjak lebih lewat sekiranya Perintah Perubahan kepada kontrak terus tertangguh,” katanya.
LUNAS juga mengemukakan kontrak-kontrak pelengkap.
“lanya penting juga untuk dijelaskan bahawa beberapa kontrak pelengkap yang kritikal untuk mencapai PHO mengikut spesifikasi kontrak tidak termasuk dalam skop sedia ada LUNAS dan perlu dikontrakkan secara langsung oleh MINDEF kepada Pembuat Peralatan Asal (Original Equipment Manufacturer, OEM).
“Ini termasuk pembekalan-peluru berpandu bagi sistem Peluru Berpandu Permukaan ke Permukaan (Surface-to-Surface Missile, SSM); peluru berpandu bagi sistem Peluru Berpandu Permukaan ke Udara (Surface-to-Air Missile, SAM); peluru bagi Sistem Pelancaran Umpan Bersepadu (Integrated Decoy Launching System, IDLS)
dan peluru bagi Meriam Berkaliber Sederhana (Medium Calibre, MGC).
“Keupayaan ini merupakan komponen penting dalam aktiviti pengujian, pentauliahan dan penerimaan yang perlu diselesaikan sebelum penyerahan kapal.
Begitu juga, walaupun Surat Setuju Terima (SST) bagi pakej Sokongan Logistik Bersepadu dan Bantuan Ujian (Integrated Logistics Support and Trial Aids, ILS-TA) telah dikeluarkan pada Ogos 2025. kontrak tersebut hanya dimuktamadkan dan ditandatangani 12 bulan kemudian, iaitu pada Ogos 2026,” katanya.
Selain itu, menurut LUNAS lagi, memandangkan aktiviti latihan adalah sebahagian penting daripada skop ILS-TA, adalah tidak praktikal atau munasabah untuk mengharapkan keseluruhan program latihan diselesaikan sebelum kontrak ditandatangani kerana kontrak yang berkuat kuasa dengan jadual pelaksanaan penuh diperlukan sebelum LUNAS dan Pembuat Peralatan Asal (Original Equipment Manufacturer, OEM) boleh memberikan komitmen terhadap tawaran dan pelaksanaan.
“Sepanjang program ini, LUNAS secara konsisten telah bertindak selaras dengan kontrak pembinaan dengan memaklumkan Kerajaan dengan segera tentang perkara yang menjejaskan kos, jadual dan penyerahan, sambil terus melaksanakan semua kerja dalam tanggungjawab kontraknya,” katanya.



