Anwar akui pemerintah Indonesia sudah berusaha padam kebakaran, Malaysia sedia bantu

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperaku kesungguhan pemerintah Indonesia yang telah mengerahkan puluhan ribu anggota serta pelbagai aset udara bagi membendung permasalahan kebakaran hutan dan lahan di negara itu yang semakin membimbangkan.

Namun kata beliau, kita sedar bahawa usaha menangani bencana sedemikian bukan suatu tugas yang mudah, apatah lagi dengan keluasan kawasan terjejas dan tantangan cuaca yang tidak menentu.

“Saya ikuti rapat perkembangan masalah kebakaran hutan dan lahan di Indonesia yang turut mengakibatkan jerebu rentas sempadan sehingga menjejaskan kesihatan dan kehidupan rakyat Malaysia, termasuk memaksa penutupan sekolah di beberapa negeri dan kawasan.

“Saya memperaku kesungguhan pemerintah Indonesia yang telah mengerahkan puluhan ribu anggota serta pelbagai aset udara bagi membendung permasalahan yang semakin membimbangkan ini. Kita sedar bahawa usaha menangani bencana sedemikian bukan suatu tugas yang mudah, apatah lagi dengan keluasan kawasan terjejas dan tantangan cuaca yang tidak menentu.

“Justeru, dalam semangat kebersamaan dan hubungan akrab sesama negara tetangga, Malaysia berpandangan bahawa cabaran rentas sempadan harus ditangani dengan tekad dan tanggungjawab bersama.

“Malah, kita telah pun mengusulkan mekanisme kerjasama di peringkat ASEAN bagi memperkukuh penyelarasan, kesiapsiagaan dan tindakan kolektif dalam menangani jerebu rentas sempadan,” katanya.

Menurut Anwar, Malaysia kekal bersedia menghulurkan bantuan sepertimana yang telah ditawarkan sebelum ini.

“Semangat kejiranan yang sebenar menuntut kita untuk saling mendukung tatkala berdepan musibah, dengan aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat serantau sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat