KUALA LUMPUR – Bagi tempoj Mac hingga Ogos lalu, sebanyak 4,289 kes buli direkodkan berlaku di sekolah-sekolah termasuk asrama danm buli fizikal adalah kes tertinggi dengan 2,480 kes.
Dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat di Parlimen semalam, Menteri Pendidikamn Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, daripada jumlah besar itu, 1,386 kes melibatkan buli lisan diikuti 243 kes buli bukan lisan dan 180 kes buli siber.
Bagi Kementerian Pendidikan (KPM), mereka memandang serius setiap kejadian buli yang direkod membabitkan murid sama ada di sekolah atau pun di asrama.
“Sehubungan itu, KPM terus memperkukuh pendekatan menangani buli secara menyeluruh, meliputi aspek penguatkuasaan, pengawasan persekitaran sekolah dan asrama, perlindungan mangsa, intervensi psikososial serta pembentukan karakter murid,” katanya.
Fadhlina menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berkenaan bilangan kes buli di sekolah dan asrama sejak Akta Anti Buli 2026 berkuat kuasa serta penambahbaikan pemantauan asrama, susulan pendedahan dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Beliau berkata, jumlah kes yang direkodkan menunjukkan usaha menangani buli perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhad kepada tindakan disiplin semata-mata.
“Setiap aduan perlu diberikan perhatian sewajarnya, disiasat mengikut tatacara yang ditetapkan dan diikuti dengan tindakan serta intervensi yang bersesuaian.
“Bagi memperkukuh keselamatan dan pemantauan di asrama, KPM sudah melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan,” katanya.
Daripada aspek pemantauan, beliau berkata, KPM memasang kamera litar tertutup (CCTV) di 200 sekolah berasrama pada tahun lalu dengan peruntukan RM3 juta.
Katanya, pada tahun ini, inisiatif berkenaan diteruskan menerusi pemasangan CCTV di 333 sekolah berasrama dengan peruntukan RM5 juta.
“Bagi Fasa Tiga pada 2027, sebanyak RM15 juta diperuntukkan untuk memperluas pemasangan CCTV kepada 1,000 sekolah di seluruh negara,” katanya.
Fadhlina berkata, pemantauan keselamatan tidak boleh bergantung pada kemudahan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu disokong pengawasan warga sekolah, kepekaan terhadap perubahan tingkah laku murid dan tindakan segera terhadap aduan.
Menurutnya, semua aspek itu penting bagi memastikan persekitaran asrama yang selamat serta membolehkan sebarang kejadian buli ditangani dengan sewajarnya.


