KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung di Bukit Jalil esok ditangguhkan susulan jerebu melanda negara.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan tarikh baharu penganjuran akan diumumkan kemudian, tertakluk kepada pemulihan kualiti udara ke tahap selamat untuk aktiviti luar.
Menurut KBS, keputusan itu dibuat sebagai langkah proaktif dan berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko kesihatan terhadap peserta, penganjur serta orang ramai.
Bagaimanapun, penganjuran HSN di peringkat negeri dan lokasi lain tertakluk kepada keadaan setempat serta ketetapan pentadbiran masing-masing.
KBS memaklumkan sambutan di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka turut ditangguhkan.
Sebaliknya, penganjuran di Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis, Perak, Sabah, Sarawak dan Labuan diteruskan seperti yang dirancang.
KBS berkata pihaknya sentiasa memantau perkembangan kualiti udara dan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.
“Susulan perbincangan terperinci bersama agensi kerajaan berkaitan, KBS meneliti implikasi penganjuran acara berskala besar dalam keadaan semasa.
“Kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan KBS dan aspek kesihatan awam serta keselamatan semua pihak terbabit diambil kira sepenuhnya.
“KBS juga menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung keadaan jerebu yang melanda negara,” menurut kenyataan itu.
KBS turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul serta merakamkan penghargaan atas pengertian dan kerjasama semua pihak.
Pada masa sama, kementerian menggesa orang ramai supaya mengehadkan aktiviti fizikal di luar rumah serta sentiasa mematuhi nasihat dan panduan kesihatan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dari semasa ke semasa.


