KUALA LUMPUR – Setiausaha Pemuda Umno Hafiz Ariffin tampil ‘menyekolahkan’ Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang sebelum itu menyokong penuh UNHCR bercadang kanak-kanak pelarian dibenarkan mendaftar di sekolah kerajaan.
Hafiz mengingatkan, isu pengurusan PATI, pelarian Rohingya pun belum selesai bahkan rekod rasmi hampir 200,00 sudah berada di Malaysia dan ini belum lagi yang tiada rekod.
“Sekarang YB Teresa Kok dari DAP, PH pula menyokong supaya kanak-kanak pelarian dibenarkan didaftarkan di sekolah kerajaan seperti syor UNCHR.
“Excuse me YB, kamu tak peka dan sensitif ke dengan keadaan sekarang ni? Di Parlimen baru-baru ni Teresa menggesa Kementerian Pendidikan ambil langkah terhadap cadangan UNHCR supaya kanak-kanak pelarian dibenarkan mendaftar di sekolah kerajaan. Isu pelarian ni dah jadi polemik nasional keresahan rakyat pun belum reda dan ini jelas kita tengok di media sosial dan orang kita sendiri turun di lapangan untuk buktikan betapa kroniknya masalah ini.
“Malaysia ni dah cukup berlembut walaupun kita bukan penanda tangan konvensyen pelarian 1951 tapi kita tumpangkan hampir 200,000 pelarian atas dasar kemanusiaan, mereka sepatutnya tinggal sementara saja sebelum UNHCR tempatkan di negara ketiga tapi realitinya proses lambat bertahun-tahun dan sebahagian besar kos ditanggung oleh Malaysia.
“Saya nak beritahu soal hak pelarian termasuk pendidikan ni memang di bawah seliaan UNHCR, sekarang ni kenapa nak tolak tanggungjawab kepada kita pula? Cadangan kanak-kanak pelarian masuk sekolah kerajaan dan saya rasa itu dah melampau bahkan disokong oleh ahli Parlimen negara kita sendiri.
“Mungkin UNHCR tak tahu keadaan sekolah kita tapi takkan lah YB Teresa Kok ni pun takkan tahu -guru tak cukup, kelas sesak fasiliti kurang, itu belum masuk lagi soal isu sosial kes-kes buli dan kes bunuh yang semakin banyak, tak pula kita dengar daripada YB tu perjuangkan sekuat-kuatnya untuk keselamatan anak-anak kita di sekolah.
“… yang nak menanggung semua ni saya nak beritahu guna duit cukai rakyat tau, rakyat bekerja dicukai dan kerajaan pulangkan dalam bentuk sekolah dan pendidikan untuk anak-anak mereka.
“Jadi sangat tak adil lah pada pandangan saya, rakyat kita yang kena tanggung kanak-kanak pelarian disebabkan kegagalan UNHCR bekerja dengan cekap.
“Saya masih ingat kalau kita tengok kenyataan Menteri Dalam Negeri (KDN) dari PH sendiri kata pelarian di bawah Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) hanya menumpang sementara parameternya tetap tiga iaitu hantar pulang, tempatkan ke negara ketiga ataupun usir, bukan menetap.
“Tapi bila YB Teresa gesa saya tengok dia macam nak suruh tinggal tetaplah. Jadi pada saya, Malaysia mesti tegas dengan pendirian tumpang sementara usaha kemanusiaan Malaysia ni dah cukup memadai. Saya tak tahulah apa yang ada dalam fikiran YB Teresa ni tapi yang jelas, ini bukan tindakan ataupun cadangan yang mendahulukan rakyat sebaliknya ini gambaran diberikan seolah-olah nak mendahulukan pelarian,” katanya.
Hafizi mengingatkan, jangan sampai rakyat kata tindak tanduk YB PH-DAP ni umpama “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.”
Sebelum itu Teresa berkata, dalam perengan 47 dalam muka surat 20 Laporan Jawatankuasa PIlihan Khas ini, UNHCR bercadang kanak-kanak pelarian dibenarkan mendaftar di sekolah kerajaan dengan sokongan UNHCR dan rakan pendidikan bagi memudahkan peralihan akademik. Selain itu, peraturan dan piawaian pendaftaran Pusat Pembelajaran Alternatif juga harus disemak semula agar lebih menyeimbangkan jaminan kualiti dan realiti operasi.
“Saya menyokong penuh cadangan UNHCR ini, dan saya berharap Kementerian Pendidikan mengambil langkah yang sewajarnya terhadap cadangan ini, supaya negara kita tidak akan wujud sekumpulan orang muda yang tiada status kewarganegaran (stateless) yang dibesarkan di negara kita yang merupakan buta huruf ,” katanya.



