KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Selangor menyindir rahsia yang selama ini disimpan Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu negeri itu.
Namun, akhirnya mengaku pemeteraian perjanjian kerjasama antara kerajaan negeri Selangor dengan Adun dari Bersatu Selangor ditandatangani sebelum pembentangan belanjawan negeri.
Dewan Ulamak Pas Selangor menempelak, daripada PH dia datang, kepada PH juga dia kembali.
“Sebelum-sebelum ni asyik nafi saja, tak mahu mengaku. Siap ber’adinda’ kanda lagi.
“Umum saja awal-awalkan senang.
“Jawatan Ketua Pembangkang tu bolehlah bagi kat parti lain.
“Selamat pengantin baru,” bidas Dewan Ulamak Pas Selangor dalam hantaran di Facebook.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, pemeteraian perjanjian kerjasama antara kerajaan negeri Selangor dengan Adun dari Bersatu Selangor ditandatangani sebelum pembentangan belanjawan negeri.
Amirudin berkata, sehingga kini rundingan masih berjalan melibatkan terma-terma perjanjian yang akan dimuktamadkan antara pembangkang dengan kerajaan negeri.
Katanya, bagaimanapun tiada permintaan yang luar biasa antara kedua-dua pihak sepanjang rundingan berjalan dan akan dimaklumkan apabila semua bersedia menandatangani persetujuan.
“Dalam perbincangan ada tolak tarik, runding, itu perkara biasa. Cuma perbincangannya belum berakhir lagi.
“Setakat yang saya faham, mereka (Bersatu Selangor) ada 11 Adun. 12 mungkin termasuk Adun Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. Kalau kesemuanya terlibat, alhamdulillah,” katanya.
Jelas Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor, beliau enggan mengulas jika kerjasama itu menunjukkan kelemahan pembangkang, namun memaklumkan perihal hak sebagai Adun dirujuk seperti mana perjanjian yang berlaku di Dewan Rakyat ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.
“Saya tak pasti (soal kelemahan pembangkang), tetapi ada kemahuan itu dan kita bincanglah untuk ke arah itu. Itu kaedahnya. Namun, tanpa perjanjian pun pembangkang tetap dapat peruntukan walaupun satu perdua daripada keseluruhan.
“Kita ambil pengalaman dan iktibar daripada pengalaman CSA di antara PH pada masa itu sebagai pembangkang, bersama dengan Ismail Sabri,” katanya.



