Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin dakwa proses ‘enquiry’ penurunan takhta telah melibatkan Tuanku Muhriz

SEREMBAN – Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menegaskan bahawa proses “enquiry” di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) telah dilaksanakan pada 5 Mac 2026 sebelum keputusan penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dibuat pada 19 April lalu.

Dalam kenyataan media bersama bertarikh hari ini, mereka menyatakan proses tersebut melibatkan pertanyaan secara langsung kepada Tuanku Muhriz serta peluang kepada baginda untuk menjawab perkara yang dibangkitkan.

Menurut kenyataan itu, proses berkenaan disusuli tempoh pertimbangan selama 45 hari sebelum Undang Yang Empat membuat penentuan di bawah Perkara 10.

“Enquiry ini telah dilaksanakan pada 5 Mac 2026. Dinyatakan dengan jelas bahawa enquiry di bawah Perkara 10 sedang berlaku,” menurut kenyataan tersebut.

Mereka menjelaskan bahawa Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Thahak, Undang Luak Sungei Ujong, telah mengemukakan tiga pertanyaan secara langsung kepada Tuanku Muhriz dalam proses berkenaan.

Pertanyaan pertama membabitkan dakwaan campur tangan baginda dalam urusan Luak Rembau dengan menitahkan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri menemu bual kumpulan yang membantah pemilihan Undang Luak Rembau.

Menurut kenyataan itu, perkara tersebut dibangkitkan kerana kedudukan Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin sebagai Undang Luak Rembau ke-22 telah diterima dan diiktiraf oleh Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 4 Julai 2025.

Mereka mengambil pendirian bahawa nasihat DKU berhubung perkara itu adalah muktamad di bawah Perkara 16(3), justeru tindakan membuka semula isu pelantikan melalui aduan dan bantahan dipertikaikan.

Pertanyaan kedua pula menyentuh tindakan Tuanku Muhriz menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja tanpa terlebih dahulu merundingi Pembesar Memerintah, yang menurut kenyataan berkenaan merupakan sebahagian daripada institusi Raja Negeri Sembilan.

Pertanyaan ketiga membabitkan kelewatan pelantikan Mufti Negeri, yang mereka kaitkan dengan cubaan mengemukakan calon tanpa melalui proses bersama.

Dalam menghuraikan bentuk proses tersebut, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menegaskan bahawa “enquiry” perlu difahami dalam konteks peruntukan perlembagaan serta tradisi rundingan dan muafakat Negeri Sembilan.

Menurut tafsiran yang dikemukakan dalam kenyataan itu, proses berkenaan merupakan siasatan dalaman dan tertutup oleh Undang sendiri, dengan pertanyaan diajukan secara langsung kepada Yang di-Pertuan Besar.

“Enquiry di bawah Perkara 10 dengan itu ialah siasatan dalaman dan tertutup oleh Undang sendiri, dengan bertanya secara langsung kepada Yang di-Pertuan Besar dan memberi baginda peluang menjawab, bagi memelihara maruah dan menutup aib baginda.

“Ia tidak menuntut tribunal luar, pendengaran awam atau prosedur ala perbicaraan. ‘Full and complete’ merujuk kepada skop pertimbangan, bukan formaliti,” menurut kenyataan tersebut.

Mereka turut membezakan penggunaan perkataan “enquiry” dalam teks Perkara 10 dengan “inquiry”, yang menurut hujah mereka lazimnya merujuk kepada siasatan formal seperti suruhanjaya atau tribunal.

Berdasarkan pendirian itu, mereka menegaskan bahawa ketiadaan tribunal luar atau pendengaran awam tidak bermakna proses yang dikehendaki oleh Perkara 10 tidak dilaksanakan.

Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak memperincikan jawapan Tuanku Muhriz terhadap setiap pertanyaan yang dikemukakan pada 5 Mac.

Menurut Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, perkembangan selepas proses tersebut turut menjadi perkara penting dalam pertimbangan sebelum keputusan 19 April dibuat.

Antaranya ialah Mesyuarat Khas DKU pada 17 April 2026 yang, menurut kenyataan itu, dipanggil bagi mendengar laporan aduan terhadap Dato’ Haji Mubarak, iaitu Undang yang memimpin proses “enquiry” terhadap Tuanku Muhriz.

Mereka mendakwa mesyuarat itu dipanggil melalui surat bertarikh 15 April, dengan notis hanya dua hari, dan notis berkenaan tidak dialamatkan kepada Undang Luak Sungei Ujong mahupun Undang Luak Rembau.

Menurut kenyataan tersebut, Undang Luak Johol, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong menentang usul yang dibentangkan, manakala sokongan hanya datang daripada Tunku Besar Seri Menanti.

Mereka mempertikaikan kenyataan bahawa DKU telah menasihatkan penerimaan pemberhentian Dato’ Haji Mubarak, dengan mendakwa tiada keputusan Dewan sedemikian dibuat dalam mesyuarat berkenaan.

Kenyataan itu menyebut bahawa penafian secara bertulis dan bermeterai telah dibuat oleh Undang Yang Empat pada 20 April 2026.

Mereka berhujah bahawa tindakan berkaitan urusan Rembau dan Sungei Ujong perlu dinilai berdasarkan larangan campur tangan dalam urusan luak yang, menurut tafsiran mereka, terkandung dalam Perjanjian 1898 serta peruntukan UUTKNS.

Menurut kenyataan itu, Perkara 10 membolehkan Undang membuat keputusan penurunan takhta selepas penelitian penuh dan lengkap sekiranya didapati berlaku perbuatan yang memenuhi alasan ditetapkan, termasuk dengan sengaja mengabaikan peruntukan Undang-Undang Tubuh atau melakukan perbuatan nyata yang menjejaskan kesucian, kehormatan dan martabat jawatan Yang di-Pertuan Besar.

Undang Yang Empat mengambil pendirian bahawa perkara yang dipertimbangkan mereka memenuhi alasan tersebut.

Susulan proses pada 5 Mac dan tempoh pertimbangan berikutnya, kenyataan itu menyebut bahawa keempat-empat Undang — Sungei Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau — menandatangani serta memeteraikan Sabda Berkaitan Perkara 10 pada 19 April 2026 di Balai Undang Luak Sungei Ujong.

Menurut mereka, sabda berkenaan menetapkan penurunan takhta Tuanku Muhriz berkuat kuasa serta-merta.

Pada hari yang sama, menurut kenyataan itu, Undang Yang Empat turut menandatangani Sabda Berkaitan Perkara 11 untuk memilih Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Kedua-dua sabda tersebut dinyatakan telah disaksikan oleh Dato’ Shahbandar Sungei Ujong.
Dari sudut pentadbiran, kenyataan itu menyebut bahawa Menteri Besar, Dato’ Haji Ismail bin Lasim, menurunkan tandatangan pada surat cara proklamasi pada 3 Ogos 2026 di Istana Laguna Biru, Port Dickson.

Mereka seterusnya menyatakan bahawa surat cara berkenaan diumumkan dalam Sidang Khas pada 5 September.

Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin turut berhujah bahawa Perkara 10(2) menghendaki keputusan tersebut dimaklumkan kepada umum melalui proklamasi, tanpa mensyaratkan pewartaan.

Atas asas itu, mereka mempertahankan pendirian bahawa proses penurunan takhta telah disempurnakan, dengan membezakan tarikh keputusan pada 19 April daripada penyempurnaan urusan pentadbiran pada 3 Ogos.

Mereka menyeru Kerajaan Persekutuan, Perdana Menteri dan Peguam Negara mengambil maklum asas keputusan tersebut serta menghormati peranan Undang dalam struktur perlembagaan Negeri Sembilan.

Kenyataan itu turut meminta rakyat bertenang dan menjunjung adat serta Undang-Undang Tubuh dalam menghadapi kemelut berkenaan.

“Undang Yang Empat tidak membuat keputusan ini dengan mudah. Ia dibuat dengan berat hati, demi memelihara Undang-Undang Tubuh, adat pusaka dan perpaduan Negeri Sembilan yang dibina di atas perjanjian dan pengorbanan nenek moyang kita,” menurut kenyataan tersebut.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat