KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan keprihatinan terhadap keselamatan dan kesihatan murid serta pelajar sekolah susulan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini.
Baginda bertitah keadaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang berpanjangan dengan bacaan antara 150 hingga 180 memerlukan tindakan sewajarnya, iaitu menutup sekolah di kawasan-kawasan yang terjejas.
Menurut Seri Paduka Baginda, aspek kesihatan dan keselamatan murid serta pelajar perlu diberi keutamaan, selain meminta Kementerian Pendidikan (KPM) memberi perhatian serius terhadap perkara berkenaan.
“Langkah sewajarnya perlu diambil oleh kementerian dan agensi yang berkenaan bagi melindungi murid dan pelajar, termasuk warga emas serta pesakit respiratori.
“Senantiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjaga kesihatan serta mengamalkan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan sebarang aktiviti luar susulan keadaan jerebu,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Semalam, negeri Johor mengumumkan penutupan sekolah selama dua hari bermula Khamis susulan keadaan jerebu serta kemerosotan kualiti udara di seluruh negeri.
Penutupan itu dibuat atas titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim sebagai langkah melindungi keselamatan dan kesihatan murid susulan keadaan jerebu.



