KUALA LUMPUR – Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, tindakan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tidak seharusnya dilihat secara terpisah daripada keseriusan isu yang sedang cuba ditangani.
Menurut Tengku Azman, tindakan tegas terhadap kegiatan ‘counter setting’ serta pencerobohan warga asing di pintu masuk negara perlu dilihat dalam konteks usaha memperkukuh keselamatan sempadan dan memelihara integriti sistem penguatkuasaan negara.
Jelas beliau, sekiranya teguran dan amaran telah diberikan sebelum ini tetapi kegiatan berkenaan masih berterusan, tindakan lebih tegas adalah wajar bagi memastikan kelemahan dalam sistem kawalan sempadan tidak terus dimanfaatkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Isu ‘counter setting’ bukan perkara kecil kerana ia menyentuh soal integriti penguatkuasaan, keselamatan negara dan keberkesanan kawalan di pintu masuk Malaysia.
“Apabila terdapat dakwaan bahawa kelemahan kawalan sempadan dimanfaatkan untuk membolehkan warga asing memasuki negara tanpa mematuhi prosedur, perkara ini perlu disiasat dengan serius dan tindakan sewajarnya mesti diambil sekiranya kesalahan dapat dibuktikan,” katanya.
Tengku Azman berkata, ketegasan seseorang pegawai penguat kuasa ketika menjalankan tugas perlu dinilai berdasarkan keadaan dan tanggungjawab yang dipikul, bukannya semata-mata berdasarkan satu insiden atau rakaman video yang tular.
“Tumpuan utama seharusnya diberikan kepada persoalan yang lebih besar, iaitu bagaimana memastikan integriti kawalan sempadan Malaysia sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Kita tidak mahu isu yang lebih besar tenggelam hanya kerana perhatian diberikan kepada satu tindakan atau video yang tular.
“Apa yang lebih penting ialah siasatan terhadap dakwaan ‘counter setting’ dan kemungkinan wujudnya pihak yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan sistem kawalan pintu masuk negara,” katanya.
Tambah Tengku Azman lagi, sebarang dakwaan salah laku melibatkan anggota penguat kuasa juga perlu disiasat secara telus berdasarkan bukti dan saluran undang-undang yang ditetapkan.
Menurut Tengku Azman, kawalan di pintu masuk negara merupakan benteng pertama dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan Malaysia terus terpelihara.
Katanya, sebarang ruang yang boleh dieksploitasi oleh sindiket penyeludupan migran atau pihak yang mahu membawa masuk warga asing secara tidak sah perlu ditutup.
“Kita tidak boleh membiarkan kelemahan dalam sistem kawalan sempadan menjadi ruang kepada sindiket untuk bergerak.
“Jika benar terdapat pihak dalam sistem yang bersubahat atau menjadi penghubung kepada sindiket, perkara itu perlu dibongkar dan tindakan tegas perlu diambil tanpa mengira kedudukan atau pangkat.
“Integriti anggota penguat kuasa merupakan perkara asas yang tidak boleh dikompromikan kerana mereka diberi amanah untuk menjaga pintu masuk dan keselamatan negara”,katanya.
Tengku Azman menyatakan, siasatan berhubung video tular yang membabitkan Mohd Shuhaily di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu perlu dilakukan secara adil dan telus.
Beliau berkata, sekiranya terdapat persoalan berkaitan tindakan atau tingkah laku mana-mana pegawai, mekanisme siasatan yang sewajarnya perlu digunakan bagi menentukan fakta sebenar.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa dan kerajaan untuk menjalankan siasatan. Jangan membuat kesimpulan hanya berdasarkan potongan video atau maklumat yang belum disahkan.
“Pada masa yang sama, siasatan terhadap isu ‘counter setting’ juga mesti diteruskan kerana matlamat akhirnya adalah untuk memastikan pintu masuk negara benar-benar selamat, bersih dan bebas daripada salah guna kuasa,” katanya.
Ujarnya, usaha membanteras rasuah, salah guna kuasa, penyeludupan migran dan kegiatan ‘counter setting’ memerlukan komitmen berterusan daripada semua agensi berkaitan.
“Kita mahu rakyat mempunyai keyakinan bahawa setiap individu yang memasuki negara ini melalui pintu yang sah telah melalui proses pemeriksaan yang sewajarnya.
“Pada masa yang sama, anggota penguat kuasa yang menjalankan amanah perlu dilindungi daripada sebarang campur tangan atau tekanan yang boleh menjejaskan tugas mereka,” katanya.
Jelas beliau, isu ‘counter setting’ dan pencerobohan warga asing perlu ditangani secara menyeluruh, termasuk mengenal pasti kelemahan prosedur, memperkukuh pemantauan serta memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Kita perlu melihat isu ini secara menyeluruh. Jika kita serius mahu memastikan keselamatan sempadan negara terpelihara, maka tindakan penguatkuasaan mesti tegas, siasatan mesti telus dan integriti mesti menjadi keutamaan,” katanya.
Tegasnya, usaha memperkukuh AKPS dan sistem kawalan sempadan Malaysia perlu mendapat sokongan semua pihak demi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara terus terpelihara.



