KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Myanmar Aung Hlaing senada bahawa kementerian serta agensi berkaitan perlu bergerak aktif dan terselaras untuk menjayakan kerjasama kedua-dua negara, ini merangkumi usaha merungkai isu pelarian Myanmar di Malaysia.
“Usai sidang media bersama, saya dan Presiden Aung Hlaing serta delegasi kedua-dua negara langsung ke Kompleks Seri Perdana untuk menyertai Dialog Kerjasama Malaysia-Myanmar di bawah kelolaan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.
“Dialog ini melengkapi usaha memperkukuh persefahaman antara Malaysia dan Myanmar melalui penglibatan ahli akademik, ilmuwan, badan pemikir dan komuniti perniagaan kedua-dua negara.
“Saya tegaskan bahawa segala yang dibincangkan dalam pertemuan empat mata dan rundingan dua hala mesti disusuli tindakan nyata.
“Presiden Aung Hlaing dan saya senada bahawa kementerian serta agensi berkaitan perlu bergerak aktif dan terselaras untuk menjayakan kerjasama ini. Ini turut merangkumi usaha merungkai isu pelarian Myanmar di Malaysia,” kata Anwar.
Jelas beliau, kerajaan memberikan sokongan kepada inisiatif dialog ini serta menggalakkan penyertaan lebih luas institusi ilmu dan komuniti perniagaan, agar hasil perbincangan dapat diterjemahkan kepada kerjasama yang membawa manfaat langsung kepada rakyat.
“Saya percaya dialog yang terbuka dan tindakan susulan yang bersungguh-sungguh akan memperkukuh kepercayaan antara Malaysia dan Myanmar, sekali gus membuka jalan untuk menyelesaikan isu berbangkit serta memperluas kerjasama yang membawa manfaat nyata kepada rakyat Malaysia,” katanya.


