KUALA LUMPUR – Petron Malaysia membuat pengesahan bahan api petrol RON95 di beberapa stesen minyak di wilayah utara mematuhi spesifikasi produk ditetapkan dan tiada bukti pencemaran dikesan.
Keputusan berkenaan adalah hasil siasatan yang selesai dijalankan susulan dakwaan berlaku pencemaran bahan api di stesen minyak kendaliannya sebelum ini.
“Tiada bukti pencemaran, termasuk pencemaran air, dikesan.
“Petron Malaysia akan terus memastikan produk kami kekal berkualiti dan selamat di semua stesen minyak Petron. Terima kasih atas kepercayaan dan sokongan berterusan anda,” katanya menerusi kenyataan.
Semalam, Petron Malaysia menjalankan siasatan susulan laporan berhubung dakwaan pencemaran petrol RON95 di lokasi di wilayah utara.
Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas isu berkenaan mendapat perhatian susulan laporan pengguna mengenai dakwaan pencemaran bahan api di beberapa stesen minyak Petron.
Dakwaan berkenaan timbul menerusi pengguna di media sosial khususnya di aplikasi Threads.


