KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) memulangkan kertas siasatan berhubung insiden di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, ia bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas insiden membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Beliau berkata, antara perkara yang perlu diteliti semula ialah ketulenan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta beberapa perkara berbangkit lain, sebelum sebarang tindakan lanjut berhubung kes itu dimuktamadkan.
“Setelah penelitian dibuat terhadap kertas siasatan terbabit, ada beberapa aspek yang memerlukan siasatan lanjut dibuat bagi melengkapkan siasatan.
“Kertas siasatan akan dipulangkan semula hari ini, kepada pihak PDRM bagi tujuan berkenaan.
“Antaranya untuk mengesahkan ketulenan rakaman CCTV serta beberapa perkara relevan bagi melengkapkan siasatan kes,” katanya menurut BH pada Khamis.
Ditanya sama ada tempoh khusus diberikan kepada PDRM untuk melengkapkan siasatan, Dusuki bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Kelmarin, AGC dilaporkan akan meneliti keterangan saksi, rakaman CCTV dan pelbagai bukti lain berhubung insiden membabitkan Shuhaily di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) selepas menerima kertas siasatan berkenaan.
Isnin lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, kertas siasatan itu dikemukakan kepada AGC untuk penelitian, nasihat dan arahan lanjut selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Setakat ini, seramai 25 saksi sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kejadian yang berlaku pada 28 September lalu.
Siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja melakukan sesuatu perbuatan yang menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain.
Mohd Shuhaily sebelum ini menyerahkan kepada kerajaan berhubung sebarang tindakan yang mungkin dikenakan susulan penularan video memaparkan beliau memarahi dua individu di KLIA1.



