KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mempersoalkan punca kuasa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan mengiktiraf proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta mengiktiraf seorang pengganti berkuat kuasa serta-merta.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban menyifatkan, keputusan berkenaan sebagai tidak berasas daripada segi undang-undang dan mendakwa ia boleh dianggap sebagai perbuatan derhaka terhadap Raja Pemerintah negeri.
Anthony menegaskan, sesuatu keputusan Exco tidak boleh dengan sendirinya mengatasi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 atau ketetapan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
“Saya ingin mempersoalkan punca kuasa Exco untuk membuat keputusan sedemikian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menteri Pengangkutan itu turut membangkitkan persoalan mengenai tindakan barisan Exco yang menurutnya sepatutnya memahami terlebih dahulu peruntukan undang-undang dan punca kuasa masing-masing sebelum membuat kenyataan menyentuh kedudukan Raja Pemerintah.
Anthony juga menyentuh kedudukan beberapa anggota Exco yang baru dilantik termasuk ada antara mereka yang didakwa belum pernah menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri sebagai anggota Exco.
“Sekiranya tindakan seumpama ini dilakukan oleh barisan Exco ketika Negeri Sembilan ditadbir oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH), sudah tentu mereka yang selama ini gemar memperalatkan isu-isu 3R untuk menyalahkan DAP akan mengecamnya habis-habisan,” ujarnya.
Menurut Anthony, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak boleh diturunkan takhta sewenang-wenangnya tanpa melalui proses yang sah seperti diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Beliau mendakwa pengumuman berhubung penurunan takhta itu bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah menggugat tatatertib pentadbiran negeri serta mencemarkan kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Besar.
Menteri Pengangkutan itu turut mengingatkan bahawa semua anggota Exco berkenaan baru sahaja mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Muhriz pada awal Ogos lalu.
“Sekiranya mereka kini tidak lagi mengiktiraf baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan maka atas prinsip dan maruah, mereka sewajarnya meletakkan jawatan masing-masing,” tegasnya.
Dalam pada itu, DAP menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan prinsip demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, selain keluhuran undang-undang serta kemuliaan institusi diraja.
Anthony berkata, kedua-dua prinsip berkenaan tidak seharusnya dipermainkan demi sebarang kepentingan politik atau peribadi.


