KUALA LUMPUR – Gagasan penyatuan ummah perlu dibina dalam kerangka yang lebih besar dan inklusif, kata Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tegas beliau, penyatuan ummah mesti melibatkan seluruh kekuatan umat Melayu-Islam, dengan Islam sebagai agama Persekutuan serta panduan al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas perjuangan.
Justeru kata Tuan Ibrahim, penyatuan ummah tidak seharusnya dilihat hanya dalam kerangka kerjasama antara Pas dan Umno.
“Tidak dinafikan bahawa Pas dan Umno merupakan dua kekuatan utama dalam politik Melayu-Islam. Kedua-duanya mempunyai kedudukan dan pengaruh yang penting untuk menjadi paksi kepada agenda penyatuan ummah.
“Namun, jika gagasan ini hanya dihadkan kepada kerjasama dua parti tersebut, kita mungkin tanpa disedari meminggirkan kelompok lain yang turut mempunyai peranan dan pengaruh dalam masyarakat.
“Sebab itu, muafakat perlu diperluas. Penyatuan ummah mesti mampu merangkul pihak lain yang bersedia menerima asas dan matlamat perjuangan yang dipersetujui bersama,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kepentingan Melayu-Islam, kestabilan negara dan kesejahteraan seluruh rakyat hendaklah menjadi matlamat yang menyatukan semua kekuatan ini.
Ujarnya, pada masa yang sama, kita harus mengakui bahawa setiap parti mempunyai sejarah, pendekatan dan agenda politik masing-masing.
“Perbezaan ini tidak semestinya menjadi penghalang kepada penyatuan.
“Sebaliknya, ia perlu diurus dengan kebijaksanaan supaya perkara yang lebih besar dapat disepakati tanpa mana-mana pihak perlu kehilangan identiti masing-masing.
“Politik Malaysia sedang berubah. Mungkin sudah sampai masanya untuk kita memikirkan suatu kerangka atau gabungan politik baharu yang lebih luas bagi menghadapi perubahan landskap politik negara.
“Generasi muda kini membentuk sebahagian besar pengundi dan mereka tidak semestinya terikat dengan sejarah serta percaturan politik generasi terdahulu. Mereka mahu melihat penyelesaian terhadap persoalan masa depan, bukannya sekadar mengulangi pertikaian masa lalu.
“Atas sebab itu, kerangka baharu ini mesti berani menangani persoalan besar yang sekian lama membelenggu negara. Antaranya termasuklah politik perkauman yang melampau, kelemahan perpaduan nasional, rasuah dan salah guna kuasa, penguasaan kartel dan kelompok berkepentingan, keruntuhan moral dalam kalangan pemimpin, kehilangan jati diri serta titik-titik pertikaian yang terus menjejaskan hubungan antara kelompok masyarakat.
“Semua persoalan ini bukan mudah untuk diselesaikan. Namun, kita mempunyai tanggungjawab untuk tidak terus mewariskannya kepada generasi akan datang. Malaysia perlu bergerak ke hadapan dengan asas politik yang lebih stabil, berprinsip dan mempunyai hala tuju yang jelas.
“Sebagai umat Islam, kita meyakini bahawa al-Quran dan al-Sunnah telah menyediakan panduan dalam mendepani persoalan kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Islam membawa prinsip keadilan untuk semua, menolak paksaan dalam beragama, mendidik manusia dengan nilai dan akhlak yang mulia serta menggalakkan kehidupan yang aman, harmoni dan saling menghormati,” katanya.
Menurut beliau, Islam menjaga kepentingan umat Islam tanpa menzalimi atau mengabaikan hak masyarakat bukan Islam.
Namun begitu Tuan Ibarahim berkata lagi, kita perlu mengakui bahawa masih terdapat kebimbangan dalam kalangan sebahagian masyarakat terhadap gagasan politik berteraskan Islam.
“Kebimbangan dan salah faham ini tidak boleh dijawab dengan slogan semata-mata. Ia mesti diperbetulkan melalui penerangan, pendekatan dan teladan pemerintahan yang membuktikan bahawa keadilan Islam mampu melindungi hak seluruh rakyat.
“Di sinilah Pas dan Umno, sebagai dua kekuatan utama politik Melayu-Islam, memikul tanggungjawab yang besar. Kedua-duanya perlu membantu membina keyakinan bahawa penyatuan ummah bukan agenda untuk menguasai atau menafikan hak pihak lain.
“Sebaliknya, ia bertujuan membentuk kekuatan politik yang mampu memimpin dengan adil, memperkukuh kestabilan negara dan menjamin kesejahteraan seluruh rakyat.
“Penyatuan yang mahu dibina juga bukan semata-mata untuk memenangkan Pas dan Umno. Kemenangan parti hanyalah wasilah.
“Matlamat yang lebih besar ialah membina kekuatan politik yang mampu menyatukan rakyat, menegakkan keadilan dan menawarkan masa depan negara yang lebih baik.
“Penyatuan ummah tidak boleh berhenti pada penyatuan Pas dan Umno. Kedua-duanya boleh menjadi paksi, tetapi kekuatannya hanya akan sempurna apabila muafakat diperluas, perbezaan diurus dengan hikmah dan seluruh kekuatan yang menerima asas perjuangan bersama dirangkul,” seru beliau.
Jelas Tuan Ibrahim, matlamat akhirnya bukan sekadar kemenangan parti, tetapi membina sebuah Malaysia yang adil, stabil dan sejahtera dengan Islam menjadi panduan serta rahmat kepada seluruh rakyat.


