KUALA LUMPUR- Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan pendedahan dokumen sulit berkait perbicaraan kes rasuah dihadapi bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, membabitkan Program Jana Wibawa.
Berdasarkan laporan polis itu, pegawai SPRM terbabit dimaklumkan oleh seorang pegawai penyiasat kes berkenaan bahawa dokumen itu didakwa telah didedahkan peguam Muhyiddin, Datuk Amer Hamzah Arshad, ketika prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam memetik BH pada Selasa.
Laporan itu menyatakan kira-kira jam 6 petang, Amer Hamzah didakwa telah mengemukakan satu dokumen mengandungi salinan rakaman perbualan membabitkan bekas Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad yang merupakan individu berulang kali disebut dalam perbicaraan berkenaan.
Adam Radlan disebut dalam keterangan berhubung dakwaan peranannya dalam membantu ahli perniagaan mendapatkan projek bawah Program Jana Wibawa.



