Jangan jual atau sewa kurniaan rumah Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah – Sultan Pahang

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan kepada semua penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) supaya tidak sesekali menjual atau menyewakan rumah berkenaan kepada pihak lain.

Baginda menegaskan dalam satu kenyataan di laman Facebook Kesultanan Pahang semalam bahawa rumah yang dikurniakan itu tidak boleh dijual atau disewakan kerana ia disediakan khusus untuk manfaat penerima dan keluarga mereka.

“Janganlah fikir nak menjual atau nak sewa. Sewa pun saya tak bagi. Ini khas untuk awak semua. Kalau Allah dah panggil kita (meninggal dunia), turun (diwarisi) ke anak cucu pula.

“Tak boleh dijual atau disewa,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian juga pada Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Ru’RASA Fasa 2 Daerah Kuantan di Tanjung Lumpur semalam.

Butiran majlis turut dipaparkan dalam portal istanapahang.my.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Tengku Ampuan Pahang Tungku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) atas kerjasama dan keprihatinan dalam membantu rakyat negeri Pahang khususnya penyediaan kediaman serta bantuan lain yang diperlukan.

“Sekali lagi, saya ingin menyatakan penghargaan atas keprihatinan membantu rakyat saya di Pahang dengan menyediakan rumah dan beberapa bentuk bantuan lain apabila diperlukan.

“Kita sentiasa mendoakan kesihatan, kesejahteraan dan umur yang panjang kepada Yang Amat Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan (Presiden UAE) serta keselamatan Yang Amat Mulia sekeluarga serta rakyat UAE,” titah Baginda.

Selain itu, Baginda Sultan turut menitahkan supaya pembonaan Ru’RASA dilaksanakan dengan mengutamakan aspek kualiti meskipun kos pembinaannya rendah, selain tidak dilakukan secara sambil lewa kerana kediaman berkenaan merupakan tempat perlindungan dan syurga bagi sesebuah keluarga.

Projek berkenaan yang bertujuan menyediakan kediaman selesa kepada rakyat Pahang dijangka melibatkan pembinaan sebanyak 790 unit rumah di seluruh negeri.

“Saya harap cuba percepatkan, dan saya harap dalam soal pembinaan untuk rumah ini, walaupun harga itu nampak murah, tetapi janganlah beri hasil pembinaan ini secara sambil lewa sahaja.

“Saya nak ada kualiti sikitlah. Jangan buat sambil lewa sahaja kerana saya anggap ini ialah syurga kepada satu-satu keluarga, di mana sekali pun, selagi di atas bumi Pahang ini,” titah Paduka Baginda.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat