KUALA LUMPUR — UMNO Sabah mahu hubungan baik yang terjalin bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika ini terus dipertahankan menerusi pendekatan politik secara damai dan diplomasi, terutama dalam menghadapi PRU16 akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pendekatan berkenaan lebih wajar bagi memastikan kerjasama antara parti dalam kerajaan negeri kekal kukuh serta tidak menjejaskan kepentingan rakyat.
“Pandangan saya secara peribadi memang begitulah keadaan saya. Saya lebih memilih untuk perbincangan kerana apa pun we are nation, sama-sama rakyat Malaysia dan juga orang Sabah.
“Jadi, tidak perlu kita bertegang. Mungkin masa dahulu kita dipimpin oleh seorang yang boleh dikatakan fighter, cara dan pembawaan dia mungkin berbeza, tetapi tidak semestinya salah.
“Tetapi pada ketika ini, rasanya pendekatan ini lebih nampak bijaksana untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional dapat kita ikhlaskan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Perwakilan UMNO Sabah sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Ballroom Hotel Pan Pacific Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Jafry, hubungan dalam kerajaan perpaduan Sabah ketika ini berada pada tahap yang baik apabila parti-parti terlibat menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dalam memastikan pentadbiran negeri terus berjalan lancar.
“Saya penuh yakin kerjasama dan komitmen parti-parti yang ada di dalam kerajaan perpaduan mampu kita jalinkan dan perkukuhkan, berkemungkinan bermula pada PRU16 ini.
“Saya optimis hubungan baik ini dapat kita teruskan pada masa-masa akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Jafry berkata UMNO dan BN akan terus memainkan peranan dalam kerajaan negeri meskipun hanya memiliki enam kerusi, termasuk membawa isu serta keperluan rakyat ke peringkat pentadbiran.
Katanya, parti itu menyedari kedudukan politiknya kini tidak lagi seperti suatu ketika dahulu, namun tetap menghargai peluang untuk terus berada dalam kerajaan.
“Kita sedar bahawa kita hanya enam kerusi dan kita memahami hakikat bahawa kita bukan lagi macam dahulu, sebuah parti yang dominan.
“Namun, kita bersyukur kerana masih berada dalam kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata, UMNO Sabah juga memilih untuk membuka lembaran baharu dalam hubungan politik negeri dengan mengetepikan perbezaan lalu dan memberi keutamaan kepada usaha membina kerjasama.
“Episod lama sudah berlalu sewaktu zaman arwah Datuk Seri Bung Moktar, hari ini kita menggunakan pendekatan yang ke arah pendamaian,” katanya.



