KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, akan dikembalikan ke pasukan polis susulan keputusan menamatkan penempatan secara pinjamannya di agensi itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan berkenaan dibuat minggu lalu.
“Keputusan untuk mengembalikan beliau daripada penempatan secara pinjaman di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia kepada pasukan polis sudah dibuat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya, lapor BH di Putrajaya.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata status perkhidmatan Shuhaily di AKPS dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan nasihat perundangan sebelum sebarang keputusan berkaitan penamatan atau pemendekan tempoh perkhidmatannya diangkat untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Perkara itu katanya, turut diserahkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, rujukan kepada AGC perlu dibuat kerana penugasan Shuhaily di AKPS berdasarkan kontrak peminjaman kader daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh dua tahun yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Kita merujuk perkara ini kepada AGC sebab penugasan Datuk Seri Mohd Shuhaily di AKPS untuk tempoh selama dua tahun.
“Dia macam kontrak, jadi kontrak ini dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi sekiranya berlaku apa-apa perkara yang membabitkan tahan kerja dan sebagainya, tindakannya nanti kita bergantung kepada nasihat AGC. Tapi apa pun perlu diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan penamatan kontrak dan sebagainya,” katanya.


