KUALA LUMPUR — Jentera UMNO Melaka kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan segala persiapan telah dilengkapkan dan hanya menunggu masa untuk digerakkan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kesiapsiagaan itu membolehkan UMNO Melaka bergerak pada bila-bila masa sekiranya keputusan PRN berkenaan dibuat oleh pucuk pimpinan, termasuk berkaitan bentuk kerjasama dengan parti politik lain.
“Menjurus kepada semua persediaan untuk jentera menghadapi PRN, kita telah bersedia dan lengkap. Lepas itu kita tunggu masa sahaja. Jentera kita sudah bersedia, jadi apabila sampai masa dan arahan diberikan, kita akan terus bergerak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada Suara TV di PWTC, Kuala Lumpur, bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Mengulas mengenai kemungkinan kerjasama dengan parti lain pada PRN Melaka, Ab Rauf berkata perkara itu masih belum diputuskan secara rasmi dan tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan.
“Kerjasama dengan parti lain itu terserah kepada pucuk pimpinan yang akan diputuskan nanti. Kempen-kempen atau bentuk kerjasama dengan parti politik lain belum diputuskan secara rasmi. Kita tunggu keputusan daripada kepimpinan,” katanya.
Sementara itu, Ab Rauf menyifatkan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada PAU sebagai jelas dalam memberikan hala tuju baharu kepada parti.
“Ucapan Presiden bagus. Ia menunjukkan satu hala tuju baharu untuk UMNO terus menjadi dominan menjelang pilihan raya umum. Pastinya semangat baharu ini mesti dirungkai kepada semua pemimpin UMNO, daripada peringkat kepimpinan hinggalah ke akar umbi,” katanya.
Beliau berkata, UMNO tidak boleh lagi berada dalam keadaan tidak jelas dari segi hala tuju politik, sebaliknya perlu kembali menjadi sebuah parti yang kuat dan dominan bagi menerajui kerajaan.
“Kita tidak boleh lagi menjadi sebuah parti yang tidak ke tengah, tidak ke tepi pun tidak. Kita mesti kembali semula menjadi parti yang dominan untuk menerajui kerajaan. Itu yang kita mahu dan semangat itu perlu dibawa oleh semua ahli UMNO,” katanya.
Menurutnya, soal kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya akan datang juga wajar diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan formula terbaik berdasarkan keadaan semasa.
“Kerjasama dengan parti lain itu terserah kepada pucuk pimpinan. Yang penting, kita di peringkat akar umbi dan jentera mesti bersedia. Apabila keputusan dibuat, kita akan bergerak dan memastikan kekuatan parti terus diperkukuhkan,” katanya.


