KUALA LUMPUR – UMNO masih berpegang kepada Perjanjian Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia dan tidak berhasrat melakukan sebarang langkah untuk mengubah kerajaan sebelum tiba tempoh pilihan raya. Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keadaan ketika ini juga tidak boleh disifatkan sebagai “retak menanti belah” meskipun terdapat pandangan dan pendirian politik yang dibangkitkan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
“Ia tidak retak menanti belah. Sebabnya, kita masih lagi berpegang kepada Perjanjian Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia.
“Jadi, selagi mana kita belum sampai tempoh ataupun pilihan raya, selagi mana asasnya kita tidak akan menebuk atap ataupun merubah kerajaan ini dengan perubahan hanya sekadar Perdana Menteri. Itu maksud tebuk atap.
“Kita memikirkan soal kestabilan politik yang kita pertahankan,”“katanya pada sidang media pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), hari ini.”
Menurut Asyraf Wajdi, apa yang lebih penting ialah mandat menentukan kerajaan perlu diserahkan kepada rakyat dan bukannya melalui percaturan untuk menukar kerajaan di pertengahan penggal.
Katanya, Presiden UMNO serta perwakilan parti turut memberikan indikasi bahawa rakyat perlu diberikan ruang membuat keputusan melalui pilihan raya.
“Biarlah rakyat yang membuat keputusan… dan mandat itu diserah kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf menjelaskan sebarang perundingan politik juga belum bermula ketika ini dan hanya akan dilakukan selepas pembubaran.
“Seperti mana yang disebut oleh Presiden, tunggulah bila pembubaran berlaku. Barulah perundingan itu akan dimulakan.
“Itu yang berlaku di Johor, itu juga berlaku di Negeri Sembilan. Bila pembubaran diisytiharkan, maka perundingan bermula. Perundingan tidak bermula sebelum pembubaran,” katanya.



