Lebih 400KM bukan halangan, 37 nurid Kedah cari pengalaman STEM sebenar di Terengganu

Bagi 37 murid Sekolah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Petani, Kedah, pembelajaran STEM bukan sekadar memahami formula, menghafal fakta atau menjawab soalan di dalam kelas, sebaliknya ia merupakan satu pengalaman yang perlu dilihat, disentuh dan diterokai sendiri, sehingga mendorong mereka bersama tujuh guru pengiring meredah perjalanan lebih 400 kilometer ke Kuala Terengganu demi mendapatkan pengalaman pembelajaran yang lebih dekat dengan dunia sebenar.

Perjalanan jauh itu membawa mereka ke beberapa lokasi pendidikan di Kuala Terengganu, termasuk Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), yang menjadi antara destinasi penting dalam program tiga hari dua malam mereka di negeri ini, khususnya ketika murid-murid berkenaan sedang membuat persiapan menghadapi Walnut EduTech Championship (WEC 2026) yang bakal berlangsung di Petaling Jaya, Selangor pada 26 September ini.

Bagi guru pengiring, Sheikh Mohd Faisol Sheikh Fauzi, kunjungan tersebut bukan sekadar lawatan sambil belajar, malah menjadi peluang untuk murid melihat sendiri bagaimana ilmu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik yang dipelajari di sekolah boleh diterjemahkan melalui aktiviti yang lebih praktikal dan interaktif.

Menurut beliau, pengalaman seperti yang ditawarkan di PSKT memberikan satu dimensi pembelajaran yang berbeza kerana murid bukan hanya menerima penerangan secara teori, tetapi berpeluang memahami sesuatu konsep melalui pendekatan amali yang lebih bersesuaian dengan usia dan tahap pemahaman mereka.

“PSKT memberi kelainan berbanding pusat-pusat sains lain kerana pendekatan yang digunakan lebih kepada amali dan praktikal secara terus, dan pendekatan seperti ini lebih mudah diterjemahkan oleh murid-murid pada peringkat usia mereka,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman tersebut amat bermakna buat murid-murid yang kini berada dalam fasa persiapan akhir sebelum menyertai pertandingan STEM peringkat kebangsaan, kerana pendedahan di luar bilik darjah mampu membantu mereka melihat sesuatu permasalahan daripada sudut yang lebih luas serta meningkatkan keyakinan untuk mengaplikasikan pengetahuan yang telah dipelajari.

Apa yang lebih menarik, perjalanan jauh dari Sungai Petani ke Kuala Terengganu itu sendiri menjadi sebahagian daripada pengalaman pembelajaran mereka apabila murid berpeluang keluar daripada persekitaran sekolah dan meneroka pendekatan pendidikan yang berbeza di negeri lain.

Sheikh Mohd Faisol yang juga guru mata pelajaran Bahasa Cina di sekolah berkenaan berkata, aspek kemudahan yang disediakan turut menjadi pertimbangan pihak sekolah ketika memilih destinasi lawatan, terutama apabila rombongan besar menggunakan bas yang disewa khas untuk perjalanan tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, melihat kehadiran rombongan dari Sungai Petani itu sebagai gambaran bahawa minat terhadap pendidikan STEM semakin berkembang dan tidak lagi terbatas kepada murid-murid yang berada di sekitar sesebuah negeri sahaja.

Katanya, PSKT lazimnya menerima jumlah pengunjung yang lebih tinggi dari luar Terengganu ketika musim cuti sekolah, namun kehadiran rombongan sekolah dari Kedah pada hari persekolahan menunjukkan kesungguhan pihak sekolah untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih luas kepada murid.

“Umumnya hanya sewaktu musim cuti sekolah kami menerima kehadiran pelawat-pelawat dari jauh, namun kali ini sewaktu hari persekolahan kami turut menerima kehadiran murid-murid sekolah yang sanggup menempuhi perjalanan jauh dari Sungai Petani, Kedah.

“Kami tidak melihat perkara ini sebagai satu kredit atau pencapaian untuk PSKT semata-mata, sebaliknya pujian perlu diberikan kepada pihak sekolah dan murid-murid atas kesungguhan mereka untuk hadir ke sini kerana kunjungan ini boleh menjadi serampang dua mata, iaitu mendapatkan pengalaman STEM dan pada masa sama membuat persediaan menghadapi pertandingan peringkat kebangsaan,” katanya.

Kesungguhan 37 murid itu hadir ke Terengganu membuktikan bahawa pembelajaran STEM boleh bermula dengan keberanian untuk keluar daripada kebiasaan, kerana kadangkala satu perjalanan yang panjang mampu membuka ruang kepada pengalaman yang tidak mungkin diperoleh hanya melalui buku teks.

Selepas menamatkan program tiga hari dua malam di Kuala Terengganu, rombongan tersebut dijadualkan kembali ke Sungai Petani untuk meneruskan persiapan akhir sebelum membawa hasil pembelajaran dan pengalaman yang diperoleh di Terengganu ke pentas Walnut EduTech Championship (WEC 2026) di Petaling Jaya pada 26 September ini.

Bagi murid-murid ini, perjalanan lebih 400 kilometer itu mungkin berakhir apabila mereka kembali ke sekolah, namun pengalaman melihat, mencuba dan memahami STEM secara lebih dekat dijangka menjadi bekalan penting untuk mereka melangkah ke pertandingan kebangsaan, sekali gus membuka mata bahawa ilmu yang dipelajari di dalam kelas sebenarnya mempunyai dunia yang jauh lebih luas untuk diterokai.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat