KUALA LUMPUR – Pertubuhan Masyarakat Demokratik dan Reformasi (MANDIRI) mendakwa akaun bank peribadi dua pemimpinnya serta akaun organisasi berkenaan telah disekat tanpa sebarang pemakluman atau penjelasan daripada pihak berkuasa.
Pengarah Eksekutif MANDIRI, Amir Hadi berkata, akaun bank peribadinya dan Pengarah Kewangan MANDIRI, Dobby Chew, disekat pada Jumaat.
Menurutnya, akaun bank MANDIRI dan Hayat, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikelolakan oleh Dobby, turut dikenakan tindakan sama.
“Kami tidak pernah walau sekali dihubungi berkaitan sekatan ini. Kami juga tidak pernah dipanggil untuk sebarang siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amir mendakwa tindakan itu merupakan kesinambungan intimidasi terhadap MANDIRI selepas beliau menerima maklumat mengenai sekatan perjalanan ke luar negara pada minggu lalu.
Katanya, perkara itu berlaku sejurus selepas Dobby berhadapan masalah ketika pulang dari Jakarta apabila dimaklumkan terdapat sekatan daripada Bukit Aman, sebelum akhirnya dibenarkan memasuki negara ini.
Bagaimanapun, menurut Amir, mereka tidak pernah dihubungi atau diberikan alasan berhubung sekatan berkenaan.
Sehubungan itu, MANDIRI menggesa pihak berkuasa memberikan penjelasan dan menarik semula semua sekatan tersebut dengan segera.
“MANDIRI sentiasa bersedia untuk disiasat sekiranya terdapat sebarang keperluan dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis serta pihak berkuasa,” katanya.
Beliau mendakwa tindakan tanpa pemakluman atau penjelasan itu adalah satu bentuk tekanan terhadap pihak yang tidak sehaluan dengan kerajaan.
Amir turut menafikan MANDIRI terlibat dalam percaturan politik atau bekerja untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti yang didakwa sebelum ini.
Tegasnya, MANDIRI ialah organisasi masyarakat sivil yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan golongan belia dan mahasiswa berteraskan keadilan sosial, hak asasi, ketelusan pentadbiran kerajaan, keadilan ekonomi serta kelestarian alam sekitar.
Menurut beliau, organisasi itu melaksanakan kempen, forum dan diskusi berdasarkan prinsip tersebut, termasuk membawa tuntutan yang pernah diperjuangkan oleh organisasi serta individu yang kini berada dalam kerajaan ketika menjadi pembangkang.
“Intimidasi ini tidak akan dapat mendiamkan kami. Ia tidak akan melemahkan kami. Kami akan lawan,” katanya.



