KUALA LUMPUR — Pergerakan Puteri UMNO mahu pendekatan lebih menyeluruh diperkenalkan bagi menangani cabaran wanita muda, khususnya ibu tunggal, dengan tumpuan bukan sahaja kepada bantuan kewangan tetapi turut merangkumi peluang pekerjaan, penjagaan anak, bantuan perundangan berkaitan nafkah serta akses kepada kediaman.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, sokongan yang diberikan perlu dirangka secara bersepadu supaya wanita muda yang berdepan tekanan kehidupan dapat membina semula kehidupan mereka dan mencapai tahap berdikari yang lebih kukuh.
“Di luar sana ada jutaan wanita muda yang sedang bergelut dengan kehidupan. Keresahan mereka hari ini adalah perkara nyata, memikirkan pekerjaan, pendapatan dan harga rumah yang semakin sukar dicapai.
“Mereka mahu membina kerjaya tanpa mengabaikan keluarga, mahu berniaga tetapi berdepan kekangan modal, mahu hidup dalam dunia digital tetapi perlu dilindungi daripada penipuan dan gangguan, selain memikul tanggungjawab menjaga anak dan ibu bapa,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Khamis.
Dalam masa sama, Nurul Amal menggesa supaya isu kesihatan wanita muda diberikan perhatian yang lebih besar, termasuk memperluas peluang mendapatkan pemeriksaan berkaitan kesihatan reproduktif dan saringan penyakit khusus wanita.
Menurutnya, usaha itu boleh diperkasakan melalui kemudahan kesihatan awam serta program komuniti yang dilaksanakan secara berkala, sekali gus memastikan perkhidmatan berkenaan lebih mudah diperoleh dan tidak membebankan golongan wanita muda.
“Inilah politik yang perlu kita perjuangkan, politik yang hadir dalam kehidupan sebenar manusia. Politik yang bukan bermula dengan parti, sebaliknya bermula dengan kehidupan manusia,” katanya.
Mengulas pendekatan Puteri UMNO pula, beliau berkata gerak kerja sayap itu perlu lebih dekat dengan realiti kehidupan wanita muda dan tidak hanya tertumpu kepada agenda dalaman parti atau kepentingan politik semata-mata.
Beliau mahu seluruh jentera Puteri memperbanyakkan usaha turun ke lapangan serta membuka ruang mendengar secara langsung masalah, kebimbangan dan harapan wanita muda bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dibawa benar-benar menjawab keperluan mereka.
“Fahami apa yang sedang mereka risaukan, fahami apa yang mereka impikan. Paling penting, buktikan bahawa politik masih boleh menjadi jalan untuk menyelesaikan masalah kehidupan mereka,” katanya.
Dalam ucapan sama, Nurul Amal turut menekankan keperluan Puteri UMNO mengubah cara melihat masa depan kepimpinan dengan tidak menjadikannya sebagai soal menunggu giliran, sebaliknya memastikan anggota sentiasa bersedia untuk memikul amanah.
Katanya, kesiapsiagaan itu perlu dibentuk menerusi penguasaan ilmu, kemahiran, disiplin, keberanian dan integriti, selain keupayaan membuat keputusan serta menyelesaikan masalah secara berkesan.
“Kalau kita sudah bersedia hari ini, masa depan kita boleh bermula hari ini. Tetapi kalau sepuluh tahun lagi kita tidak bersedia, masa depan itu belum juga tiba.
“Sebab itu saya mahu Puteri berhenti melihat masa depan sebagai giliran. Lihat masa depan sebagai kesiapsiagaan,” katanya.
Beliau pada masa sama mahu pencapaian Puteri UMNO dinilai berdasarkan perubahan yang berjaya diwujudkan kepada masyarakat, bukan semata-mata berdasarkan jumlah program atau kehadiran peserta.
“Jangan hanya tanya berapa banyak program kita sudah buat, tanya juga apa yang berubah kerana program itu? Jangan hanya tanya berapa ramai yang hadir, tanya juga berapa ramai yang pulang dengan ilmu baharu, kemahiran baharu, keyakinan baharu dan kesediaan baharu.
“Dan akhirnya kita mesti berani bertanya satu soalan yang mungkin sedikit tidak selesa: ‘Apa yang berubah kerana Puteri hadir?’ Kalau kita turun ke sebuah kampung, apa yang berubah? Kalau kita membantu seorang wanita muda, apa yang berubah dalam hidupnya? Kerana, kesibukan bukan ukuran kejayaan. Perubahanlah ukurannya,” katanya.


